Bandar Seri Begawan, Selasa.15 Rabiulakhir 1447 bersamaan 07 Oktober 2025-Bagi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang ke-79 tahun, serta mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan kebahagiaan berpanjangan buat Baginda, Jawatankuasa Takmir Muslimah Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan telah menganjurkan Majlis Membaca Rattib Al Attas dan Doa Kesyukuran Sempena Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam ke 79 Tahun. Majlis tersebut diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin, Pegawai Ugama Kanan merangkap Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar.
Manakala Surah Al-Fatihah pula dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Rapinah binti Idup, Ketua Penyelia Muslimah Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Majlis diserikan dengan tazkirah bertajuk Wanita dan Rahsia Amal Ikhlas disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nadhirah binti Haji Lahit, Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas selaku Ketua Unit Kelas Bimbingan Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Majlis diikuti dengan bacaan Rattib Al Attas yang diketuai oleh Yang Mulia Dayang Nurhafizah binti Haji Ismadi, Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Bertauliah, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB). Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis ini juga dihasratkan dapat mempererat ukhuwah dalam kalangan Muslimah serta jemaah masjid, di samping mengimarahkan masjid melalui penganjuran majlis keagamaan yang penuh keberkatan.
Semoga dengan doa yang dipanjatkan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam sentiasa berada dalam peliharaan Allah Subhanahu Wata'ala dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dalam keberkatan, serta dilimpahi rahmat dan kasih sayang daripada Allah Subhanahu Wata'ala.





Foto: JHEM