Salambigar, Selasa, 22 Rabiulakhir 1447 bersamaan 14 Oktober 2025–Sebagai tanda kesyukuran atas siapnya projek penambahan bangunan baharu Masjid Kampung Salambigar, satu Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat diadakan pada petang tadi. Majlis tersebut diungkayahkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir masjid berkenaan bagi menzahirkan rasa syukur serta penghargaan atas usaha berterusan dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah dan perpaduan masyarakat.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Adam bin Ahmad, Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Salambigar; Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Masjid Kampung Salambigar serta guru-guru dan penuntut-penuntut sekolah ugama sekitarnya.
Projek penambahan bangunan baharu Masjid Kampung Salambigar telah siap sepenuhnya pada 19 Jun 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha mempertingkatkan kemudahan infrastruktur masjid demi kesejahteraan para jemaah dan masyarakat setempat.
Penambahan ini meningkatkan kapasiti keseluruhan masjid untuk menampung kira-kira 700 orang jemaah, khususnya bagi pelaksanaan Sembahyang Fardhu Jumaat dan Sembahyang Sunat Hari Raya. Antara kemudahan tambahan yang disediakan termasuklah Bilik Pengurusan Jenazah, Bilik Serbaguna, tandas, serta tempat berwudhu bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada para jemaah.
Projek penambahan bangunan baharu ini menelan anggaran kos melebihi B$900,000.00. Penambahan bangunan masjid tersebut adalah hasil sumbangan derma dan wakaf daripada orang ramai, para jemaah masjid serta syarikat-syarikat tempatan melalui Tabung Derma bagi Pembinaan Bangunan Tambahan Masjid Kampung Salambigar. Sumbangan ini melambangkan semangat keprihatinan dan kebersamaan masyarakat dalam menyokong pembangunan rumah Allah demi manfaat bersama.
Majlis pada hari tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Abdul Rahman bin Haji Matersad, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Salambigar. Diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Halim bin Haji Bungsu, Imam Masjid Kampung Salambigar selaku Pengerusi bersama Ahli Jawatankuasa Bangunan Tambahan Masjid Kampung Salambigar.
Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan dalam menjayakan pembangunan serta pengimarahan masjid, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada imam-imam yang telah berkhidmat di Masjid berkenaan, Ahli Jawatankuasa Bangunan Tambahan Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir dan jasa para penderma serta kontraktor yang terlibat.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban, diikuti dengan bacaan Doa Selamat. Seterusnya, sesi menandatangani plak perasmian sebagai simbolik kepada selesainya projek penambahan bangunan tersebut. Majlis diakhiri dengan menyaksikan pameran yang memaparkan perjalanan serta maklumat tentang pembangunan masjid berkenaan.
Penambahan kemudahan dan ruang baharu ini diharap dapat mempertingkatkan lagi keselesaan para jemaah serta memperluas peranan masjid, bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat aktiviti keagamaan, pendidikan, dan kemasyarakatan. Kejayaan projek ini turut mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat setempat dalam menyokong usaha pembangunan institusi masjid di Negara Brunei Darussalam.







Foto: JHEM