Berakas, Khamis, 24 Rabiulakhir 1447 bersamaan 16 Oktober 2025–Sebagai usaha untuk memperkukuh kesedaran serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kewajipan menunaikan ibadah solat, peranan para imam turut diketengahkan sebagai pemimpin rohani yang membimbing jemaah, menyampaikan ilmu, serta menjadi contoh teladan dalam penghayatan amalan seharian. Dalam masa yang sama, Imam juga diangkat sebagai pemimpin dalam institusi keluarga, berperanan mendidik anak-anak dengan nilai Islam, membimbing ahli keluarga dalam pelaksanaan ibadah, serta memastikan keharmonian rumah tangga berpaksikan syariat.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar telah mengadakan satu sesi program khas bertajuk Program Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Melalui Bimbingan Imam dan Makmum Dalam Keluarga Siri Ke Dua (2) bagi Imam dan Peranannya. Program tersebut mengambil tempat di masjid berkenaan. Terdahulu, program seumpama ini telahpun diadakan di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop pada bulan Ogos yang lalu dan di Masjid Kampung Salambigar pada bulan September yang lalu.
Bagi edisi kali ini, pengisian program mengetengahkan bimbingan mengenai imam dan peranannya yang disampaikan oleh Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas merangkap Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seramai 70 orang peserta telah menyertai program ini, yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid; Pasukan Polis Diraja Brunei; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Kementerian Pembangunan dan Syarikat Takaful Brunei.
Turut hadir juga, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar serta jemaah masjid berkenaan.
Program ini dianjurkan dengan tujuan memperkukuh perpaduan dalam kalangan keluarga melalui amalan solat berjemaah, serta memberikan pendedahan berkenaan rukhsah solat bagi memastikan kewajipan ibadah tetap terpelihara walaupun dalam keadaan kesulitan. Selain itu, program ini turut menekankan penerapan nilai-nilai kemasyarakatan seperti kepatuhan makmum kepada imam, sekaligus mengimarahkan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu dan tarbiah.




Foto: JHEM