Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BENGKEL ASAS PENGACARAAN MAJLIS BAGI KELAS BIMBINGAN MUSLIMAH SENEGARA

29 October 2025

BENGKEL ASAS PENGACARAAN MAJLIS BAGI KELAS BIMBINGAN MUSLIMAH SENEGARA

Sengkurong, Rabu, 07 Jamadilawal 1447 bersamaan 29 Oktober 2025–Penubuhan Kelas Bimbingan Muslimah di masjid-masjid seluruh Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu inisiatif bagi memperkasa pembangunan diri wanita Muslimah secara holistik. Para muslimah kini dilihat semakin aktif melibatkan diri dalam pelbagai majlis rasmi termasuk acara-acara keagamaan.

Justeru, penglibatan mereka ini wajar dilengkapkan dengan kemahiran berkomunikasi seperti dalam mengacarkan sesuatu majlis.

Sehubungan dengan itu, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menganjurkan Bengkel Asas Juruacara Majlis yang diadakan secara bersiri dan dikhususkan bagi Kelas Bimbingan Muslimah. Bagi siri kali ini, bengkel diadakan di Masjid Sultan Sharif Ali dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.

Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan, latihan serta kemahiran kepada para peserta dalam mengendalikan sesuatu majlis secara profesional dan berkesan. Selain itu, untuk membina keupayaan peserta agar berinteraksi secara beretika, efektif dan berkeyakinan di hadapan khalayak ramai.

Seramai 30 orang peserta mewakili Kelas Bimbingan Muslimah dari Zon 5 dan Masjid Negara telah menyertai bengkel tersebut.

Turut hadir, Yang Mulia Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin, Pegawai Ugama Kanan selaku Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Pemudah cara bagi bengkel tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nadhirah binti Haji Lahit, Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas merangkap Ketua Unit Kelas Bimbingan Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Daripada penganjuran bengkel ini, para peserta berpeluang mempelajari konsep pengacaraan secara formal dan tidak formal, kaedah penyusunan ayat serta penulisan skrip di samping didedahkan kepada gaya bahasa penggunaan intonasi yang betul.

Adalah dihasratkan agar bengkel seumpama ini dapat melahirkan Muslimah yang berkemahiran dan berkeupayaan mengendalikan majlis dengan teratur, lancar serta profesional.

 

Foto: JHEM