Tutong, Khamis, 09 Jamadilawal 1447 bersamaan 30 Oktober 2025–Sempena memperingati penubuhan Masjid Kampung Bukit Udal, Daerah Tutong Ke-30 Tahun, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid telah menganjurkan Sambutan Jubli Mutiara Masjid Kampung Bukit Udal dengan salah satu acara utamanya ialah Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Ke-30 masjid tersebut pada lewat petang tadi.
Majlis berkenaan diselajurkan dengan pelancaran logo baharu Masjid Kampung Bukit Udal sebagai lambang identiti dan semangat baharu dalam usaha memperkukuh peranan masjid kepada masyarakat setempat.
Di samping menjadi salah satu usaha bagi mengimarahkan masjid, majlis ini juga dihasratkan untuk memupuk dan mengeratkan hubungan silaturahim, keakraban serta kerjasama dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir, para muslimah, dan penduduk Kampung Bukit Udal.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin serta Doa Selamat dan Kesyukuran. Acara diteruskan dengan pelancaran logo baharu Masjid Kampung Bukit Udal dan tayangan klip video yang memaparkan sejarah penubuhannya. Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan khas dan penyerahan cenderahati.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, sebelum diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Isya' berjemaah.
Masjid Kampung Bukit Udal, Daerah Tutong telah dirasmikan pembukaannya pada 01 November 1995 bersamaan 08 Jamadilakhir 1416 Hijrah. Sambutan ulang tahun ini diharap dapat menjadi wadah untuk mempereratkan ukhuwah dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir, para muslimah, dan jemaah, serta menzahirkan rasa syukur atas perjalanan tiga dekad masjid ini yang terus berperanan sebagai pusat ibadah dan kegiatan keagamaan bagi masyarakat setempat.
Foto: JHEM