Muara, Jumaat, 09 Jamadilawal 1447 bersamaan 31 Oktober 2025-Sehingga 30 Oktober 2025, seramai 217 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam, dengan 109 orang daripadanya berasal dari Daerah Brunei dan Muara. Angka ini mencerminkan keberkesanan usaha dakwah yang berterusan serta hidayah daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Pada petang tadi, seorang lelaki berbangsa Iban, Romairo anak Adak, berusia 31 tahun, telah memilih Islam sebagai pegangan hidupnya dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan di Masjid Kampung Kapok, Muara.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Bahrin bin Mohd. Noor.
Majlis Pengislaman dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Romairo anak Adak, yang kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Romairo bin Abdullah Adak.
Majlis Pengislaman disempurnakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah. Majlis disusuli dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu diraikan. Majlis turut diserikan lagi dengan Dikir Marhaban, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.


Foto: PDI