Belait, Ahad, 11 Jamadilawal 1447 bersamaan 02 November 2025–Jabatan Pengajian Islam melalui Bahagian Pelajaran Lanjutan memainkan peranan yang besar dalam mendukung pendidikan ugama sepanjang hayat bagi masyarakat melalui pengendalian Kelas-Kelas Dewasa Ugama di negara ini yang mula dilaksanakan sejak tahun 1958.
Antara objektif Kelas Dewasa Ugama ialah agar para pelajarnya dapat mempelajari ilmu asas bacaan Al-Quran dengan bertajwid dan tartil, di samping mempelajari ilmu asas fardhu ain, fardhu kifayah, dan amalan-amalan sunat.
Sehubungan dengan itu, seramai 36 orang pelajar Kelas Dewasa Ugama, Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Kuala Belait yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran diraikan dalam satu majlis yang diadakan di sekolah berkenaan pagi tadi.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis dan diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim dan Tahlil yang dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Zainah binti Haji Daud, dan bacaan Doa Khatam oleh Yang Mulia Dayang Hajah Siti Fatimah binti Haji Shaikh Hussin.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil oleh Tetamu Khas Majlis yang diiringi dengan persembahan dikir. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Dr Zulkifli bin Haji Zakaria.
Majlis tersebut adalah bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta menyemai semangat untuk terus mencintai dan mengamalkan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Majlis juga merupakan salah satu usaha berterusan pihak Jabatan Pengajian Islam dalam mengukuhkan penghayatan hidup berugama dalam kalangan pelajar-pelajar dan seterusnya sama-sama mengukuhkan syiar Islam di negara ini.