Bandar Seri Begawan, Ahad, 11 Jamadilawal 1447 bersamaan 02 November 2025–Pesta Marhaban Borneo anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) merupakan inisiatif yang bertujuan untuk menampilkan budaya Melayu di kepulauan Borneo. Acara berkenaan menghimpunkan kumpulan marhaban atau dikir dari empat wilayah utama iaitu Sarawak dan Sabah, Malaysia; Negara Brunei Darussalam; serta Kalimantan Barat, Indonesia yang merangkumi Kota Pontianak, Kota Singkawang, Kabupaten Sambas dan Kabupaten Mempawah.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menghantar rombongan untuk menghadiri Pesta Marhaban Borneo berkenaan. Pemilihan peserta dibuat berdasarkan kepakaran, kemahiran dan pengalaman peserta yang dipilih berkaitan dengan Dikir Brunei yang akan dipersembahkan, sebagai usaha memperlihatkan keunikan budaya dan tradisi Islam di Negara Brunei Darussalam.
Antara objektif Pesta Marhaban Borneo tersebut diadakan adalah untuk memartabatkan Marhaban (Dikir) atau Syair di kalangan masyarakat, khususnya generasi muda dan sebahagian daripada warisan budaya Melayu Islam yang perlu dilestarikan selaras dengan visi Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memartabatkan budaya berteraskan Islam. Di samping mempereratkan silaturrahim Masyarakat Melayu di Kepulauan Borneo serta memperkenalkan cara persembahan Marhaban (dikir) dan syair dan menjadi platform pertukaran ilmu dan seni bacaan atau persembahan Marhaban antara negeri dan negara khususnya di Kepulauan Borneo. Selain itu, penyertaan ini turut memberi peluang kepada pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama, khusunya Pegawai Masjid untuk meningkatkan kemahiran vokal, disiplin kumpulan dan adab persembahan di dalam membawakan Dikir Marhaban. Melalui penglibatan ini juga, para peserta berpeluang mendalami teknik, variasi serta inovasi dalam penyampaian Dikir Marhaban.
Rombongan seramai 10 orang peserta itu diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pesta Marhaban Borneo tersebut telah diadakan selama tiga (3) hari bermula pada 31 Oktober 2025 sehingga 02 November 2025 bertempat di Hikmah Exchange dan Event Centre, Kuching, Sarawak. Selain Pertandingan Dikir Duduk Peringkat Sarawak, penganjuran ini turut menampilkan Bengkel Marhaban Borneo yang melibatkan pembentangan daripada semua perwakilan peserta.
Adalah dihasratkan dengan penglibatan perwakilan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam menghadiri Pesta Marhaban Borneo ini akan dapat diteruskan dari masa ke semasa bagi sama-sama memperkenalkan dan mengongsikan Dikir Brunei sebagai warisan turun temurun di negara ini.



Foto: JHEM