Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS DOA KESYUKURAN SEMPENA PENGEMASKINIAN DAN PERUBAHAN NAMA SEKOLAH UGAMA ARAB MENENGAH PEREMPUAN RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT (SUAMPRIPAD) KEPADA SEKOLAH ARAB RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT (SA RIPAD)

04 November 2025

MAJLIS DOA KESYUKURAN SEMPENA PENGEMASKINIAN DAN PERUBAHAN NAMA SEKOLAH UGAMA ARAB MENENGAH PEREMPUAN RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT (SUAMPRIPAD) KEPADA SEKOLAH ARAB RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT (SA RIPAD)

Bandar Seri Begawan, Selasa, 13 Jamadilawal 1447 bersamaan 04 November 2025-Dengan penuh kesyukuran, warga Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SA RIPAD) pagi tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Pengemaskinian dan Perubahan Nama Sekolah daripada Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) kepada nama baharu yang rasmi iaitu Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SA RIPAD).

Majlis Doa Kesyukuran tersebut diadakan di Dewan Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan diserikan dengan kehadiran Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Tetamu Kehormat Majlis.

Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta intisari ayat dan disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar sekolah, Yang Mulia Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut.

Acara diteruskan dengan perasmian perubahan nama sekolah oleh Tetamu Kehormat. Majlis turut dimeriahkan dengan tayangan video khas, persembahan lagu rasmi baharu sekolah, serta bacaan Doa Kesyukuran Khas sebagai tanda junjung kasih dan rasa syukur atas kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi penyelarasan nama sekolah tersebut pada hari Sabtu, 28 Ramadhan 1446 bersamaan 29 Mac 2025 yang lalu.

Sebagai simbolik kepada permulaan baharu, Tetamu Kehormat turut menyempurnakan acara menanam bunga peringatan, sebelum melakukan lawatan ke ruang pameran projek dan aktiviti sekolah termasuk Projek STEAM, Kelab-Kelab Madrasah, Pandu Puteri Tunas, Platform Pendidikan Digital Ma'radh 'Ilmie, serta pameran pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum.

Majlis ini juga melambangkan tekad warga Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit untuk meneruskan legasi kegemilangan dan kecemerlangan pendidikan ugama dan Arab dengan suntikan semangat baharu dan kecintaan bagi meneruskan perjuangan dalam mencapai visi dan misi sekolah.​