Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PELETAKAN BATU ASAS SEKOLAH UGAMA KAMPUNG BOLKIAH

05 November 2025

MAJLIS PELETAKAN BATU ASAS SEKOLAH UGAMA KAMPUNG BOLKIAH

Kampung Buang Sakar, Rabu, 14 Jamadilawal 1447 bersamaan 05 November 2025-Penduduk Kampung Bolkiah dan kawasan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan sekolah ugama baharu yang dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 5.5 ekar.

Sehubungan itu, Majlis Peletakan Batu Asas bagi bangunan baharu sekolah tersebut diadakan pada pagi tadi di Tapak Sekolah Ugama Kampung Bolkiah, Jalan Kasat.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan.

Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta para pegawai kanan dari kementerian-kementerian berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir secara beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Amiruddin bin Pengiran Haji Tejudin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kampung Kasat, Zon 1 Daerah Brunei dan Muara.

Seterusnya, acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan diikuti oleh para jemputan khas yang lain.

Acara diteruskan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, dengan menunjukkan lukisan reka bentuk bangunan baharu Sekolah Ugama Kampung Bolkiah.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Amiruddin bin Pengiran Haji Tejudin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kampung Kasat, Zon 1 Daerah Brunei dan Muara.

Bangunan baharu Sekolah Ugama Kampung Bolkiah ini dijangka siap pembinaannya pada bulan November 2026 menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara Kedua Belas (RKN-12) Kementerian Hal Ehwal Ugama serta peruntukan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan anggaran berjumlah BND12.4 juta.

Selain digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran persekolahan ugama, bangunan baharu tersebut juga akan berfungsi sebagai sekolah gunasama di bawah Kementerian Pendidikan bagi menempatkan sesi persekolahan umum peringkat rendah untuk penduduk Kampung Bolkiah dan kawasan sekitarnya.

Apabila siap nanti, bangunan sekolah ini akan dapat menampung kira-kira 400 orang pelajar.  Antara kemudahan yang disediakan nanti ialah 16 buah Bilik Darjah, Bilik Darjah Pra, Bilik Staf Guru, Dewan Serbaguna, Kantin, Kompleks Sukan, Gelanggang Futsal dan Gelanggang Bola Jaring.

 

Foto: JPI dan SkiPPA BPAAM​