Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 HIJRAH/2026 MASIHI

08 November 2025

MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 HIJRAH/2026 MASIHI

​Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi akan diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut iaitu hari Isnin, Selasa dan Rabu, 19, 20 dan 21 Jamadilawal 1447 bersamaan 10, 11 dan 12 November 2025 mulai pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari dan 1.30 hingga 4.00 petang bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Sementara itu, Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Hadiah dan Cenderamata kepada para peserta dan hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M akan diadakan pada hari Khamis, 22 Jamadilawal 1447 bersamaan 13 November 2025, pukul 1.45 petang di tempat yang sama.

Seramai 71 orang peserta terdiri daripada 57 orang Qari dan 14 Qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari pertama sehingga hari terakhir pertandingan.

Bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mengikuti Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama akan menyiarkan secara langsung (livestreaming) melalui akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama @kheu.brunei dan Microsoft Teams https://tiny.cc/kheumusabaqah.

Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan merupakan pertandingan yang menjadi medan kelayakan ke Peringkat Akhir Kebangsaan dan seterusnya ke Peringkat Antarabangsa yang akan datang.  Penganjuran musabaqah seumpama ini dihasrat dapat memberikan pendedahan serta galakan kepada para Qari dan Qariah negara dalam usaha meningkatkan mutu pembacaan Al-Qur'an mereka. Di samping itu, ia turut membuka minda dan menarik minat masyarakat agar mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

Musabaqah ini merupakan projek tahunan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama yang bertujuan untuk memartabatkan bidang Al-Qur'an di Peringkat Kebangsaan. Marilah kita bersama-sama meningkatkan dan mengembangkan lagi bidang ini serta mendorong masyarakat ke arah celik ilmu-ilmu Al-Qur'an. Sesungguhnya, ia merupakan wadah zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, doa untuk memohon kepada-Nya serta peringatan supaya kita dijauhkan dari sebarang kelalaian yang merugikan.​