Kuala Belait, Rabu, 28 Jamadilawal 1447 bersamaan 19 November 2025–Bagi membarigakan maklumat mengenai persekolahan Arab kepada masyarakat di negara ini, khususnya penduduk di Daerah Belait seperti program pendidikan, kemasukan pelajar, pencapaian sekolah serta peranan Sekolah Arab dalam sistem pendidikan negara, di samping memberi peluang kepada para ibu bapa dan penjaga meninjau kemudahan pembelajaran melalui lawatan dan penerangan terus, Sekolah Arab Belait pagi tadi mengadakan Hari Terbuka bersempena memperingati ulang tahun ke-20 penubuhannya di daerah tersebut, yang sekali gus sebagai tanda penghargaan atas peranan sekolah dalam melahirkan generasi berpendidikan agama dan berakhlak mulia.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di Hari Terbuka Sekolah Arab Belait dan seterusnya merasmikan acara ialah Yang Mulia Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pelbagai acara menarik disusun bagi memeriahkan program antaranya pameran pendidikan, aktiviti interaktif, kemahiran digital serta reruai keusahawanan.
Acara dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Ahmad Za'aim bin Haji Bagol, tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Majlis diteruskan dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Hajah Masniah @ Nur Amalina binti Pengiran Hussin, Mudirah (Pengetua) Sekolah Arab Belait.
Semoga dengan penganjuran Hari Terbuka ini, Sekolah Arab Belait terus menjadi wadah pendidikan yang unggul yang mampu melahirkan generasi berilmu, berjaya, berimam dan berakhlak mulia serta berdaya saing demi kemajuan agama, bangsa dan negara.