Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SESI PENGAJIAN 2024M  INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

19 November 2025

MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SESI PENGAJIAN 2024M INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

Berakas, Rabu, 28 Jamadilawal 1447 bersamaan 19 November 2025-Seramai 57 orang pelajar peringkat Menengah serta siswa-siswi peringkat Diploma 'Aliyah Qiraat Sesi Pengajian 2023/2024M menerima hadiah masing-masing di Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang diadakan pada petang tadi bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Daripada jumlah tersebut, seramai dua puluh (20) orang pelajar menerima Anugerah Peperiksaan kendalian Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah;  tiga (3) orang pelajar menerima Anugerah Peperiksaan O'Level;  tiga (3) orang pelajar menerima Anugerah Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB);  dua puluh (20) orang pelajar menerima Anugerah Cemerlang Hafaz Al-Quran As-Syathibi;  serta sebelas (11) orang siswa siswi menerima Anugerah Mutafawwiq (Cemerlang Al-Quran, Qiraat dan Purata Nilai Gred Kumulatif). (Sila rujuk senarai nama seperti di dalam buku program).

Selain itu, seramai sebelas (11) orang pelajar peringkat Menengah dan siswa siswi peringkat Diploma 'Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerima hadiah masing-masing dalam Penyampaian Anugerah Khas iaitu seorang (1) pelajar menerima Anugerah Pelajar Mithali (contoh); dua (2) orang terdiri siswa siswi menerima Ja'izah Khassah Littholib Al-Mithali;  serta lapan (8) orang siswa menerima Anugerah Khas Cemerlang Al-Quran 30 Juz.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Rashid bin Haji Mohamad Saad, tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Diikuti dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ali 'Imran, Ayat 100 hingga 105 oleh Yang Mulia Awang Muhammad Yusuf Haikal bin Mohamad Hashim, Siswa Tahun 1 Diploma 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diteruskan dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Disusuli dengan penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar peringkat Menengah dan siswa siswi Diploma 'Aliyah Qiraat yang disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Tetamu Kehormat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Mohd Azim bin Awang Haji Ali, Penolong Pensyarah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Antara tujuan majlis ini diadakan ialah sebagai penghargaan kepada pelajar-pelajar yang diraikan atas kejayaan memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Al-Quran dan Akademik serta peperiksaan awam, di samping sebagai satu motivasi serta pencetus semangat kepada pelajar-pelajar yang lain.

Semoga kejayaan yang diraikan ini menjadi inspirasi berterusan, melahirkan generasi Al-Quran yang berilmu, berakhlak mulia, serta mampu memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.

Hadir sama di majlis tersebut ialah timbalan-timbalan pengetua, pegawai-pegawai, guru-guru, kakitangan, pelajar-pelajar dan siswa-siswi Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta ibu bapa dan penjaga para penerima anugerah.​