Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

SESI PERMUZAKARAHAN ANTARA AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA YANG DILANTIK DENGAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA  (BAGI MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN) KALI KE-22, TAHUN 2026M)

19 November 2025

SESI PERMUZAKARAHAN ANTARA AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA YANG DILANTIK DENGAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA (BAGI MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN) KALI KE-22, TAHUN 2026M)

Berakas, Rabu, 28 Jamadilawal 1447 bersamaan 19 November 2025–Program Keusahawanan Asnaf PROPAZ kini berada di Fasa 3 dengan 13 peserta menjalani latihan praktikal di Kafe Pengupayaan Asnaf. Latihan meliputi 4 bahagian iaitu: hot kitchen; barista; pengendalian Point of Sale (POS) System; dan penyelenggaraan ruang kafe dan dapur.

Pengurusan zakat juga diperkukuh melalui penambahbaikan proses inquiry, kerjasama rapat dengan JAPEM dan pemimpin masyarakat, penggunaan Microsoft365 Teams bagi pemantauan serta pengurusan data yang cekap. Pembangunan Sistem Tempahan Dalam Talian untuk pembayaran zakat sedang dalam proses ujikaji dan dalam fasa akhir perlaksanaannya.  Usaha-usaha promosi juga dilaksanakan melalui media sosial, siaran radio harian dan penerbitan video dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB).

Pembangunan masjid di bawah RKN menunjukkan kemajuan dengan tiga projek (RPN Lumut, RPN Rimba dan RPN Lugu) sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2026.  Tujuh projek lain berada dalam fasa tender atau rekabentuk dan dijangka siap antara 2027 hingga 2030.

Di bawah Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Projek Kampung Lamunin dan Kampung Ukong sedang dilaksanakan, manakala beberapa projek lain berada dalam fasa rekabentuk dan penyediaan dokumen tender. Dari Januari hingga September 2025, sebanyak 154 program masjid telah dijalankan merangkumi Bahagian Imarah, Hal Ehwal Muslimah, Bahagian Belia dan Bahagian Bimbingan dan Latihan.

Pematuhan halal dipantau melalui pemeriksaan berkala dan mengejut di kedai serta premis makanan.  Usaha untuk menubuhkan Rakan Belia Halal (RaBelLa) sedang dirancang bagi mengembangkan penglibatan belia dalam ekosistem halal.

Dari segi penyampaian perkhidmatan, penambahbaikan TPOR yang menetapkan tempoh pemprosesan 44 hari bekerja meningkatkan kadar pematuhan daripada 29% kepada 86%.  Mulai 01 Januari 2025 sehingga 23 Oktober 2025, sebanyak 781 permohonan diterima, dengan majoriti telah diluluskan (66%), 28% masih dalam proses, 2% merupakan pengecualian dan 4% adalah permohonan yang dibatalkan.

Perkara tersebut antara yang dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama di dalam Ucapan Alu-aluan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama di Sesi Permuzakarahan antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Dilantik dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama (Bagi Majlis Mesyuarat Negara Kali Ke-22, Tahun 2026M) pada pagi tadi bertempat di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Diikuti dengan Ucapan Balas daripada Ketua Rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang antara lain, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir menaruh harapan melalui perkongsian penerangan dan fungsi infrastruktur Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam Sesi Permuzakarah pagi ini akan memberikan buah fikiran kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam misi mendapatkan maklumat serta memberikan pandangan dan cadangan antara kedua-dua belah pihak sebagai salah satu platform ke arah membisaikan lagi mutu perkhidmatan yang sedia ada di Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis diteruskan dengan taklimat disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama yang menerangkan mengenai Pencapaian Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan memfokuskan kepada topik-topik iaitu: Pelan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2025-2029 yang menetapkan hala tuju baharu bagi memperkasa Perkhidmatan Ugama yang berkualiti dan berinovatif; Rumusan Sesi Dialog Kementerian Hal Ehwal Ugama Bersama Pemimpin Akar Umbi dan Pihak Berkepentingan yang telah diadakan di keempat-empat daerah pada bulan Julai lalu adalah sebagai platform untuk bertukar pandangan, mengenalpasti cabaran dan merangka strategi penambahbaikan perkhidmatan ugama;  Rumusan Dapatan Kaji Selidik mengenai tahap kepuasan orang ramai terhadap Perkhidmatan Ugama Kementerian Hal Ehwal Ugama; Proses Kerja Sistem Kebajikan Negara (SKN) Pengurusan Tekad Pemedulian Orang Ramai yang secara keseluruhannya ialah usaha penambahbaikan proses kerja Sistem Kebajikan Negara dalam pengurusan hal ehwal zakat; dan Pengurusan Bangunan dan Pemeliharaan serta Fasiliti Masjid-Masjid di Negara Brunei Darussalam.

Atur cara diteruskan dengan Sesi Permuzakarahan antara Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sesi Permuzakarahan ini merupakan manifestasi usaha strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk meningkatkan kualiti Perkhidmatan Ugama di negara ini ke tahap yang lebih tinggi selain untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu-isu berbangkit, menambahbaik cara pelaksanaan Perkhidmatan Ugama dan juga menjadi wahana “learning zone" kepada kedua belah pihak.

Terdahulu, sebelum Perjumpaan Muhibbah bermula, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara berpeluang menyaksikan Pameran (Showcase) mengenai Proses Kerja Pengurusan Perkhidmatan Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) bagi Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Jabatan Hal Ehwal Masjid, dan Jabatan Hal Ehwal Syariah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Hadir sama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahuddin, Ahli Majlis Ugama Islam Brunei: Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, Pemangku Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama;  Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

 

 

 



Foto: BPAAM dan SkiPPA BPAAM