Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BENGKEL LATIHAN TENAGA PENGAJAR:  PENCERAMAH TADABBUR AL-QUR’AN BERTAULIAH

20 November 2025

BENGKEL LATIHAN TENAGA PENGAJAR: PENCERAMAH TADABBUR AL-QUR’AN BERTAULIAH

Madang, Khamis, 29 Jamadilawal 1447 bersamaan 20 November 2025–Bagi menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai tadabbur Al-Qur'an, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Ceramah) dengan kerjasama Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang mengendalikan Bengkel Latihan Tenaga Pengajar: 'Penceramah Tadabbur Al-Qur'an Bertauliah'. Bengkel ini telah diadakan selama 4 hari bermula pada 17 November hingga 20 November 2025 bertempat di Dewan Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.

Seramai 38 orang menyertai bengkel berkenaan yang terdiri daripada 17 orang Da'ie Pusat Da'wah Islamiah, 10 orang pegawai Jabatan Hal Ehwal Masjid, 3 orang pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMAAT), 2 orang Pegawai Pelajaran Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan 8 orang mewakili Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang Pusat Da'wah Islamiah dan Jawatankuasa Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit mengundang Yang Mulia Ustaz Syahmi Syazeril Azmi, Pengarah Urusan Syarikat Tadabbur Centre Sendirian Berhad (Malaysia) selaku fasilitator bagi bengkel tersebut.

Objektif bengkel ini adalah untuk memantapkan ilmu supaya lebih berkeyakinan dalam menyampaikan mesej Al-Qur'an dengan lebih berkesan dan berpaksikan sumber tafsir yang muktabar dan mengukuhkan kefahaman para Da'ie dalam bidang tadabbur Al-Qur'an agar berupaya mengamati Al-Qur'an berkaitan dengan aspek kehidupan serta meningkatkan kemahiran para Da'ie dalam penyampaian da'wah bersumberkan Al-Qur'an sejajar dengan era transformasi digital di samping menjana minda dan bertukar-tukar pandangan antara para peserta dengan fasilitator dalam usaha memartabatkan syi'ar Islam di Negara Brunei Darussalam.

Bengkel ini secara umum juga bertujuan membantu para Da'ie untuk memahami, menghayati, dan mengamalkan kandungan Al-Qur'an dalam kehidupan harian dengan kaedah yang lebih berkesan dan bersistematik agar para Da'ie mampu menyampaikan ilmu tadabbur Al-Qur'an kepada masyarakatdengan lebih baik.

 

 

 

 

 

​Foto: PDI