Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KEMENTERIAN PENDIDIKAN DAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA PERKENALKAN KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 3 BAHARU DENGAN PENDEKATAN LEBIH INTERAKTIF DAN SISTEMATIK

24 November 2025

KEMENTERIAN PENDIDIKAN DAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA PERKENALKAN KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 3 BAHARU DENGAN PENDEKATAN LEBIH INTERAKTIF DAN SISTEMATIK

​

Serusop, Isnin, 03 Jamadilakhir 1447 bersamaan 24 November 2025–Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jawatankuasa Kerja Sukatan Pelajaran dan Penilaian bagi Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum pagi tadi meneruskan Sesi Sosialisasi Kurikulum Pendidikan Islam Tahun 3 yang baharu, kali ini bagi guru-guru ugama sekolah-sekolah swasta seluruh negara, dalam usaha memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah berkenan.

Kurikulum baharu ini diperkenalkan selaras dengan hasrat pihak kerajaan untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih kontekstual, interaktif dan mudah difahami serta berupaya membentuk kefahaman ugama yang kukuh dan nilai akhlak yang positif dalam diri pelajar.

Kurikulum Pendidikan Islam Tahun 3 yang baharu menampilkan beberapa ciri utama, antaranya:

1.         Pendekatan Pedagogi Kontemporari:

Mengintegrasikan strategi pembelajaran abad ke-21 yang menekankan kemahiran berfikir kritis, kolaborasi, komunikasi dan kreativiti.

2.         Reka Bentuk dan Ilustrasi Buku Teks Mesra Pelajar:

Paparan grafik, warna dan ilustrasi diperbaharui sepenuhnya bagi memudahkan pelajar memahami konsep asas ibadah, akidah dan akhlak.

3.         Kandungan Ditambah Baik dan Lebih Sistematik:

Susunan tajuk diselaraskan dengan keperluan perkembangan pelajar serta disokong contoh situasi harian yang relevan.

4.         Aktiviti Pengukuhan Berasaskan Pengalaman:

Latihan praktikal, aktiviti kumpulan dan tugasan aplikasi nilai diterapkan untuk menggalakkan pembelajaran aktif dan bermakna.

5.         Penyelarasan dengan Kurikulum Kebangsaan:

Kurikulum baharu ini memenuhi standard penilaian terkini dan berpandukan Dasar Pendidikan bagi memastikan kesepadanan antara kurikulum, pedagogi dan pentaksiran.

Acara sosialisasi pagi tadi bertujuan memberikan pendedahan awal kepada guru-guru ugama di sekolah-sekolah swasta mengenai struktur dan objektif kurikulum baharu serta strategi pengajaran yang dihasratkan. Sesi tersebut juga membuka ruang perbincangan dan perkongsian amalan terbaik bagi memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dilaksanakan dengan lancar serta berkesan.​