Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-209

29 November 2025

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-209

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 09 Jamadilakhir 1447 bersamaan 29 November 2025–Musim cuti hujung tahun selalunya dimanfaatkan untuk beriadah dan bercuti, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Namun, umat Islam diingatkan bahawa percutian bukanlah alasan untuk lalai daripada mengingati Allah Subhanahu Wa Ta'ala.  Waktu cuti hendaklah menjadi ruang menambah rasa syukur, menjaga solat serta memperbaharui iman, dan bukan masa untuk melonggarkan batas agama.

Demikian antara perkara yang diingatkan melalui Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Khaliq bin Kamree, Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-209.

Program Munajat malam tadi disertai oleh ahli-ahli Belia Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait yang bersiaran dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, dan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, Penghulu Mukim Kuala Belait dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Noor Syahmi bin Haji Mazne, Graduan Lepasan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Belia Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait.  Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Nazhiim Mustaqim bin Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid (SKiPPA), Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Asma Al Husna beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nur Adiib bin Awang Haji Luqman, Graduan Lepasan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Belia Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait.  Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Hakim Al-Alim bin Haji Janaji, Graduan Lepasan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Belia Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.​