Katok, Ahad, 09 Jamadilakhir 1447 bersamaan 30 November 2025–Bagi menzahirkan rasa syukur serta meraih keberkatan dan syafaat Al-Quran sempena tamat pengajian, Jabatan Pengajian Islam pagi tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 35 orang pelajar Tahun II Skim Tilawah Al-Quran Remaja (Sesi 2024-2025) yang diadakan di Dewan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan, Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat) Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang diketuai oleh Tetamu Khas Majlis. Diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam dan diteruskan dengan bacaan Doa Khatam oleh Yang Mulia Awang Muhammad Wajdi 'Aboqai bin Haji Mohammad Junaidi. Kemudiannya, penyampaian Sijil Khatam dan Hadiah Galakan Pelajar Terbaik oleh Tetamu Khas Majlis.
Majlis diakhir dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah, Tenaga Pengajar Kelas Lanjutan Bayyati, Skim Tilawah Al-Quran Remaja Daerah Brunei dan Muara.
Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) mula diperkenalkan pada tahun 1997 bagi membimbing para pelajar yang berpotensi dalam bidang pembacaan Al-Quran untuk dijadikan pelapis Qari dan Qariah negara ke arah mendukung hasrat negara untuk melahirkan Generasi Celik Al-Quran di samping menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan dan budaya dalam kehidupan seharian.