Kuala Belait, Ahad, 09 Jamadilakhir 1447 bersamaan 30 November 2025–Al-Quran merupakan sumber utama dalam membina akhlak dan jati diri umat Islam khususnya dalam kehidupan berkeluarga. Penghayatan ayat-ayat suci Al-Quran dalam sesebuah keluarga dapat membentuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera, di samping memperkukuh institusi kekeluargaan berlandaskan pedoman Ilahi.
Sehubungan dengan itu, bagi sama-sama memupuk semangat masyarakat di Negara Brunei Darussalam untuk mencintai Al-Quran, sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran serta memperteguh institusi keluarga berlandaskan petunjuk Yang Maha Pencipta, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait bersama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menganjurkan Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran Secara Berkeluarga bagi Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Jemaah Masjid, Muslimah Masjid, Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Kali Pertama bagi Tahun 1447H/2025M. Majlis mengambil tempat di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampong Pandan, Kuala Belait.
Penganjuran majlis ini juga adalah bagi menyahut Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir dan rakyatnya celik Al-Quran. Selain meraih keberkatan dan syafaat Al-Quran, majlis ini turut berperanan menanamkan budaya suka membaca, memahami serta menghayati isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan berkeluarga.
Pada masa yang sama, penganjurannya dihasratkan dapat membentuk kehidupan berkeluarga yang berasaskan nilai-nilai Islam sebagaiman terkandung dalam Al-Quran; menjadi medium bagi keluarga-keluarga untuk membangunkan dan meninggikan syiar Islam melalui budaya membaca Al-Quran; mencungkil bakat dan kemampuan keluarga dalam pembacaan Al-Quran; serta mengeratkan hubungan silaturahim bagi memupuk semangat keislaman, meningkatkan keimanan dan mengukuhkan kesatuan ummah.
Sebanyak tujuh (7) kumpulan terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir, jemaah, muslimah, belia dan beliawanis masjid senegara, dengan setiap kumpulan dianggotai ahli keluarga terdekat telah menyertai Musabaqah berkenaan.
Johan di majlis tersebut ialah Keluarga Allahyarham Awang Haji Metusin bin Haji Kassim @ Haji Jamaluddin, mewakili Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Daerah Brunei dan Muara. Naib Johan pula ialah Keluarga Awang Haji Asmat bin Haji Tuah, mewakili Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Kampung Katimahar, Daerah Brunei dan Muara. Manakala tempat Ketiga pula ialah Keluarga Allahyarham Awang Haji Metusin bin Haji Kassim @ Haji Jamaluddin, mewakili Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong.
Majlis sehari tersebut diakhiri dengan pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah serta saguhati kepada para peserta.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama. Juga hadir, Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis pada pagi tadi turut disemarakkan dengan persembahan daripada Johan Musabaqah. Acara kemuncaknya ialah penyampaian hadiah dan saguhati oleh Tetamu Kehormat Majlis, sebelum diakhiri dengan bacaan doa selamat.








Foto: JHEM