Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

30 November 2025

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

Bandar Seri Begawan, Ahad, 09 Jamadilakhir 1447 bersamaan 30 November 2025Peranan Zakat sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Zakat merupakan rukun dan ibadah wajib ke atas umat Islam yang mencukupi syarat untuk menunaikannya.  Al-Quran dan Hadis sebagai sandaran utama dalam melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Mendidik jiwa hamba dapat meningkatkan semangat dan sikap positif dalam menunaikan perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Terdapat ancaman terhadap keingkaran menunaikan Zakat yang boleh merugikan masyarakat Islam di dunia dan azab yang pedih di akhirat.

Perkara tersebut antara yang dijelaskan dalam Tazkirah Subuh bertajuk Suci Hartamu Dengan Zakat disampaikan oleh Yang Mulia Awang Arif Fakhrullah bin A. Ramlee, Pegawai Ugama, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan.  Di samping membentuk masyarakat yang berdisplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat “Negara Zikir" dan “Negara Berkat" melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.

 

Foto: JHEM