Berakas, Sabtu, 08 Jamadilakhir 1447 bersamaan 29 November 2025–Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini menerima lawatan rasmi daripada delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang diketuai oleh Yang Berbahagia Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MAPIM, bersama Yang Berbahagia Datuk Wira Shekh Abdul Ghani Samsudin, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), beserta ahli rombongan. Lawatan tersebut diadakan di Bilik Mawar, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Mengalu-alukan kehadiran delegasi tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dalam ucapan alu-aluan, Yang Mulia Setiausaha Tetap menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak MAPIM mengadakan kunjungan rasmi ke kementerian ini sebagai sebahagian daripada rangka lawatan mereka ke Negara Brunei Darussalam. Beliau turut menekankan bahawa pertemuan seumpama ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta membuka peluang kerjasama dalam bidang dakwah, pendidikan Islam dan usaha memperkasa kesejahteraan umat Islam di rantau ini.
Hadir sama dalam sesi perjumpaan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid; Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan, Pemangku Pengarah Pengajian Islam; Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Selaku Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS; Yang Mulia Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail dari Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS; serta pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama yang lain.
Dalam sesi perjumpaan tersebut, perbincangan bersama delegasi MAPIM meliputi pertukaran pandangan mengenai bidang-bidang kerjasama berpotensi, khususnya dalam pembangunan dakwah, penyebaran ilmu, pendidikan Al-Quran serta inisiatif pengukuhan jaringan institusi Islam Islam serantau, serta peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti umat Islam.





Foto: SkiPPA BPAAM