Manila, Filipina, Isnin, 10 Jamadilakhir 1447 bersamaan 01 Disember 2025–Bagi memperkukuh kompetensi pegawai dalam fasilitasi dialog, pengurusan konflik serta memperluas rangkaian kerjasama antarabangsa untuk program perpaduan dan pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama menyertai ASEAN-IPR dan KAICIID Training on Interreligious and Intercultural Dialogue for ASEAN Officials yang berlangsung di Manila, Filipina selama lima (5) hari bermula hari ini Isnin, 01 Disember 2025 sehingga 05 Disember 2025.
Latihan ini dianjurkan oleh ASEAN Institute for Peace and Reconciliation (ASEAN-IPR) dengan kerjasama International Dialogue Centre (KAICIID).
Program tersebut menghimpunkan pegawai kerajaan dari negara-negara ASEAN untuk memperkukuh pengetahuan serta kemahiran dalam bidang dialog antara agama dan budaya, pengurusan konflik dan diplomasi lembut (soft diplomacy). la juga bertujuan mempromosikan keharmonian masyarakat majmuk, toleransi, dan keamanan sosial di rantau ini.
Brunei Darussalam diwakili oleh Yang Mulia Dayang Normassahrol Hafyzah Ahmad Sah, Pegawai Pelajaran, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Dayang Nur Diyana binti Dato Paduka Haji Md. Yussof, Pegawai Ugama, Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sepanjang program lima hari tersebut, para peserta mengikuti sesi interaktif, bengkel kemahiran dialog serta lawatan pembelajaran ke lokasi bersejarah di Manila. Antara topik uatama yang dibincangkan termasuk Interreligious Dialogue (IRD), Intercultural Dialogue (ICD), transformasi konflik, dan strategi integrasi dialog dalam institusi.
Penyertaan ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi imej Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang sentiasa mempromosikan keharmonian, toleransi dan persefahaman di peringkat ASEAN.
Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus mengintegrasikan ilmu serta amalan terbaik yang diperoleh melalui latihan ini ke dalam program kementerian, sejajar dengan visi negara ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu, harmoni dan inklusif.
Rombongan berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam pada hari Ahad, 30 November 2025.
