Tutong, Isnin, 10 Jamadilakhir 1447 bersamaan 01 Disember 2025–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf) dengan kerjasama Persatuan Nurul Islam (PNI), buat julung kalinya telah menganjurkan projek 'Fathul Ilmi 1.0' bagi Tahun 2025 sempena persediaan sesi persekolahan tahun 2026. Majlis perasmian projek tersebut telah diadakan pagi tadi.
Adapun objektif projek ini dilaksanakan adalah untuk mengumpulkan alat-alat persekolahan yang akan diserahkan kepada anak-anak Muallaf. Selain itu, inisiatif ini turut memberi peluang kepada warga Pusat Da'wah Islamiah dan orang awam untuk sama-sama berinfak serta membantu meringankan perbelanjaan keluarga Muallaf dalam persiapan menyambut sesi persekolahan yang baharu.
Sebagai salah satu sarana dakwah dan rasa pemedulian pihak Kerajaan, khususnya Pusat Da'wah Islamiah dan persatuan-persatuan Muallaf, projek ini menyasarkan untuk memastikan anak-anak Muallaf yang memerlukan dapat menikmati proses pembelajaran yang lebih dinamik dan inovatif.
Antara perisian majlis perasmian berkenaan ialah menerima sumbangan daripada orang ramai kepada Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, selaku Tetamu Kehormat. Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin, Penolong Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf).
Penerimaan sumbangan bagi projek tersebut akan dibukakan kepada orang ramai selama empat hari bermula hari Isnin, 1 Disember 2025 sehingga Hari Khamis, 4 Disember 2025, mulai pukul 8.30 pagi sehingga pukul 11.30pagi, dan pukul 2.00 petang sehingga 3.30 petang, bertempat di Bilik Mauizhah, Bangunan Darul Huda,Pusat Da'wah Islamiah.








Foto: PDI