Belait, 11 Jamadilakhir 1447 bersamaan 02 Disember 2025–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Cawangan Da'wah Daerah Belait dengan kerjasama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengadakan Lawatan Kerja ke Mukim Sukang dan Mukim Melilas melalui “Program Ikatan Komuniti Strategik" di bawah Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Kunjungan muhibbah dan lawatan kerja ini meliputi Rumah Besar Sukang, Rumah Panjang Penan dan Rumah Panjang Julangan Titah Kampong Melilas. Lawatan tersebut bertujuan memantau kebajikan dan kemaslahatan serta memberi bimbingan tarbiyyah kepada muallaf yang menetap di kedua-dua mukim berkenaan. Jalinan kerjasama melalui lawatan kerja ini juga diharapkan dapat mengukuhkan serta mengembangkan lagi kerjasama strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Cawangan Da'wah Daerah Belait dalam pelaksanaan program-program kemasyarakatan dan kebajikan khususnya bagi saudara-saudara baru.
Turut hadir ialah Pegawai dan kakitangan Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait serta rombongan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Iswandy bin Ahmad, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Dengan adanya peluang kerjasama seperti ini, kedua-dua pihak dapat bersama-sama memperluaskan lagi usaha penyebaran da'wah dan pengukuhan syiar Islam di negara ini.





Foto: PDI