Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PEMBATALAN SIJIL HALAL SEBUAH RESTORAN CAWANGAN DI DAERAH TUTONG

03 December 2025

PEMBATALAN SIJIL HALAL SEBUAH RESTORAN CAWANGAN DI DAERAH TUTONG

Tutong, 12 Jamadilakhir 1447 bersamaan 03 Disember 2025–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah memaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal, di bawah  kuasa yang diberikan oleh Majlis Ugama Islam Brunei di bawah Bab 6(3), Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005, telah membatalkan Sijil Halal dan Sijil Penyelia Halal Majlis Ugama Islam Brunei yang dikeluarkan terhadap Restoran Tandakasih, cawangan Kampung Keriam, Tutong, berkuat kuasa pada 01 Disember 2025.

Pembatalan ini dibuat susulan penemuan dua batang berus yang diperbuat daripada bulu khinzir yang didapati telah digunakan untuk menyalai makanan di premis tersebut, hasil daripada pemantauan rutin Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) yang telah dijalankan pada 24 November 2025. Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan juga telah mengesahkan kemudian mengesahkan dapatan tersebut melalui analisis makmal.

Kes ini sedang disiasat di bawah Bab 37, Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005, yang memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau denda tidak melebihi BND8,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, semua pemegang Sijil Halal Majlis Ugama Islam Brunei di negara ini adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang serta syarat-syarat pensijilan halal yang ditetapkan. Kementerian Hal Ehwal Ugama juga menegaskan bahawa setiap pemegang Sijil Halal bertanggungjawab sepenuhnya memastikan segala peralatan, bahan dan proses penyediaan makanan adalah halal, suci serta bebas daripada sebarang unsur yang tidak halal atau meragukan.

Sebarang pelanggaran terhadap syarat pensijilan merupakan suatu perbuatan yang amat serius kerana ia boleh menyebabkan masyarakat Islam di negara ini terdedah kepada pengambilan makanan yang tidak halal atau diragui kehalalannya, serta mencemarkan integriti sistem pensijilan Halal negara.

Pegawai-pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah akan terus menjalankan operasi pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peruntukan undang-undang dan syarat pensijilan halal.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan penggunaan atau penjualan produk tidak halal di premis perniagaan boleh menyalurkan aduan terus kepada Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui talian hotline 716 6222 atau dengan hadir ke pejabat BKMH di daerah masing-masing.

 

Foto: JHES