Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM BELIA MASJID PRIHATIN 3.0:  TAHADDU TAHABBU & BACK 2 SCHOOL SPECIAL

07 December 2025

PROGRAM BELIA MASJID PRIHATIN 3.0: TAHADDU TAHABBU & BACK 2 SCHOOL SPECIAL

Tungku, Ahad, 16 Jamadilakhir 1447 bersamaan 07 Disember 2025 

Kumpulan Belia Masjid Ashabul Haliim, Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Malik dan Belia Ashabul Akhyar, Belia Masjid Kampung Lumapas dengan kerjasama Belia Masjid Senegara serta sokongan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Program Belia Masjid Prihatin 3.0: Tahaddu Tahabbu & Back 2 School Special bermula pada 17 November hingga 04 Disember 2025.  

 

Program ini merupakan inisiatif kutipan sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk peralatan sekolah bagi membantu anak-anak yatim serta keluarga yang kurang berkemampuan. Majlis penyerahan sumbangan program tersebut mengambil tempat di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku. 

 

Antara tujuan program ini diadakan adalah bagi membantu murid-murid daripada keluarga asnaf agar dapat meneruskan pembelajaran dan meningkatkan prestasi akademik melalui sokongan moral serta bantuan daripada komuniti. Disamping menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti amal serta memupuk semangat keprihatinan dan kasih sayang terhadap golongan memerlukan. Program ini juga dihasratkan untuk mengimarahkan masjid sebagai pusat masyarakat Islam dengan menarik lebih ramai penduduk untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan, serta membentuk komuniti Islam yang harmoni dan bertanggungjawab melalui penerapan nilai ringan tulang, peduli dan saling membantu sesama sendiri. 


Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi menyempurnakan sesi penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan sekolah ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Turut hadir, pengarah-pengarah serta pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

 

Majlis penyerahan sumbangan program tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta doa. Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan Tilawah Al-Quran beserta penyampaian inti sari ayat yang telah diperdengarkan. 

 

Acara petang tadi turut diserikan dengan ucapan oleh Yang Mulia Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, selaku Pengerusi Program, diikuti dengan tayangan video montaj Belia Masjid Prihatin 3.0 bertema “Tahaddu Tahabbu & Back 2 School Special”. 

 

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 32 orang penerima. Acara diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat Majlis. 

 

Dengan adanya program ini diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang prihatin dan dermawan sekali gus mengajak masyarakat untuk saling memberi disamping memperbanyakkan amalan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala.