Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 16 Jamadilakhir 1447 bersamaan 06 Disember 2025
“Dalam Islam, orang kelainan upaya (OKU) bukan kekurangan tetapi ciptaan Allah yang penuh hikmah dan kemuliaan. Al-Qur’an menegaskan manusia dicipta dalam sebaik-baik kejadian, dan kerana itu Islam mengharamkan segala bentuk penghinaan, diskriminasi, atau merendahkan mereka. Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam menunjukkan teladan jelas melalui layanan Baginda terhadap sahabat OKU seperti Ibn Umm Maktum, yang bukan sahaja dimuliakan bahkan diberi amanah besar sebagai mu’azzin, guru al-Qur’an, dan penjaga Madinah ketika Nabi keluar berperang.
Sejarah Islam turut membuktikan bahawa ramai tokoh besar merupakan individu OKU yang menjadi aset ummah. Antaranya ‘Ataa’ ibn Abi Rabaah (27H–114H), seorang ulama tabi‘in yang buta dan lumpuh separa, namun dilantik sebagai mufti besar Mekah dan menjadi guru kepada generasi tabi‘in serta perawi utama ilmu fekah dan tafsir. Begitu juga al-A‘mash, Sulaiman ibn Mihran (61H–148H), seorang tabi‘in kecil yang rabun dan lemah fizikal, tetapi beliau menjadi antara perawi hadith paling tsiqah (kredibel) dan rujukan utama dalam ilmu sanad hingga hari ini. Mereka membuktikan bahawa potensi, ilmu dan kepimpinan tidak terhalang oleh kekurangan fizikal.
OKU juga mempunyai hak sosial, pendidikan dan ibadah, termasuk rukhsah yang menunjukkan rahmah syariat. Mereka bukan beban, tetapi sebahagian daripada kekuatan ummah. Oleh itu, masyarakat dan institusi bertanggungjawab menyediakan sokongan, akses dan peluang yang adil untuk memuliakan mereka, agar komuniti kita menjadi lebih penyayang, inklusif dan diberkati Allah.”
Demikian antara perkara yang ditekankan di dalam Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hilman bin Haji Salim, Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi menyerikan Munajat Khas Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama kali ke-210 Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) Tahun 2025.
Program Munajat malam tadi disertai oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Suffri Sofian bin Haji Mohammad Umar, Pegawai Pelajaran, Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Sufri bin Amit @ Othman, Pegawai Pelajaran, Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong.
Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haziq Al-Mukhtar bin Pengiran Haji Shahbudin, Pegawai Pelajaran Kanan, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Nuurmatin bin Haji Abu Bakar, Pemangku Ketua Guru Ugama, Pemangku Pegawai Pembangunan Masyarakat, Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.