Bandar Seri Begawan, Selasa, 18 Jamadilakhir 1447 bersamaan 09 Disember 2025
Kegiatan penyalahgunaan dadah merupakan antara isu sosial yang memberi kesan besar kepada masyarakat, khususnya generasi muda. Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dan Kumpulan Syababurroja, Belia Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah mengambil langkah inisiatif menganjurkan Lawatan Keagamaan ke Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi Belia dan Beliawanis Masjid Sempena Cuti Penggal Persekolahan.
Antara objektif program ini diadakan adalah bagi memberi pendedahan kepada belia dan beliawanis mengenai bahaya penyalahgunaan dadah. Di samping menyemai kesedaran tentang pentingnya mematuhi ajaran Islam dalam menjaga diri dan masyarakat. Program lawatan ini juga dihasratkan bagi meningkatkan kefahaman terhadap peranan agensi kerajaan seperti Biro Kawalan Narkotik dalam membanteras penyalahgunaan dadah, sekaligus membina semangat keinsafan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan para belia dan beliawanis.
Yang Mulia Dayang Siti Mawarni binti Haji Bakar, Ketua Pegawai Narkotik II
menyampaikan taklimat mengenai Pendidikan Pencegahan Dadah

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada belia dan beliawanis masjid di bawah naungan Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menyertai program lawatan tersebut.
Turut mengikuti lawatan ialah Yang Mulia Awang Haji Yusli bin Haji Ashli, Ketua Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Terdahulu, para peserta berpeluang mendengarkan tazkirah ringkas bertajuk ”3B: Bangun, Berdiri, Bertindak” yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Shair bin Samsudin daripada Kumpulan Belia Syababurroja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, sebelum berangkat ke Biro Kawalan Narkotik.
Antara pengisian program lawatan tersebut merangkumi taklimat mengenai Pendidikan Pencegahan
Dadah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Mawarni binti Haji Bakar, Ketua Pegawai Narkotik II. Para peserta turut berpeluang mendengarkan perkongsian pengalaman bersama rakan harmoni serta menyaksikan mini galeri pameran dadah yang berjaya dirampas.
Melalui pelaksanaan program ini, adalah diharapkan para peserta agar dapat mengambil iktibar daripada pengalaman yang diperoleh semasa lawatan serta memperkukuh semangat kesedaran pencegahan dadah dan disiplin diri.