Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN UGAMA BRUNEI (SPUB) TAHUN 1446H/2025M

17 December 2025

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN UGAMA BRUNEI (SPUB) TAHUN 1446H/2025M

Rabu, 26 Jamadilakhir 1447H bersamaan 17 Disember 2025 

Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei telah mengeluarkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) tahun 1446H / 2025M (bagi calon-calon Tahun 10/11) di sekolah-sekolah Menengah Arab dan Institut Tahfiz  al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Keterangan Pencapaian: Daripada seramai 689 orang calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei, seramai 350 orang calon (50.80%) telah berjaya memperoleh sekurang-kurangnya pangkat Jayyid (Kepujian) dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Sementara itu, 532 orang calon (77.21%) telah memperoleh sekurang-kurangnya lima (05) pangkat Jayyid (Kepujian) dalam mata-mata pelajaran yang diduduki.  Daripada jumlah ini (689 orang), seramai 11.76% calon telah berjaya memperoleh agregat 6 – 8. 


Calon-calon sekolah yang telah menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip pernyataan keputusan mereka di sekolah masing-masing.  Manakala bagi calon persendirian hendaklah mengambil slip pernyataan keputusan di pejabat Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, bertempat di tingkat bawah bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama pada waktu pejabat.


Sehubungan dengan itu, bagi calon-calon yang LAYAK dan berminat untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat pra-u di Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STAHB), bolehlah mengambil BORANG PENDAFTARAN / KEMASUKAN ke sekolah ini bermula pada hari Sabtu, 06 Rejab 1447H bersamaan dengan 27 Disember 2025M, pukul 8:30 pagi hingga 12.00 tengah hari di Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, KM 2, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kampung Parit, Bandar Seri Begawan, BA1912, Negara Brunei Darussalam.


Tarikh akhir bagi mengembalikan semula borang tersebut ke sekolah berkenaan ialah pada hari Sabtu, 13 Rejab 1447H bersamaan dengan 03 Januari 2026M.


Bagi calon-calon peperiksaan, ibu bapa / penjaga yang ingin mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), bolehlah berbuat demikian melalui perkhidmatan SMS dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN (jarak) NOMBOR INDEKS CALON (jarak) NOMBOR KAD PENGENALAN PINTAR dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST, 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn. Bhd. atau 39966 bagi pelanggan Imagine Sdn. Bhd. Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.


Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar dengan dikenakan caj bayaran B$1.00 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima. Sehubungan dengan itu, dipohonkan kepada para pelanggan agar dapat memastikan talian telefon bimbit masing-masing mempunyai kredit yang mencukupi.