Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-212

20 December 2025

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-212

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 30 Jamadilakhir 1447 bersamaan 20 Disember 2025


“Tahun baharu bukan sekadar perubahan tarikh atau pertambahan angka pada kalendar. Hakikatnya, setiap kali tahun berganti, usia kita semakin berkurang dan perjalanan kita menuju akhirat semakin hampir.  Menghadapi tahun baharu dengan iman dan taqwa bermaksud kita tidak menjalani kehidupan secara lalai, sebaliknya hidup dengan kesedaran - kesedaran bahawa hidup ini adalah amanah, kesedaran bahawa setiap nikmat akan dipersoalkan, dan kesedaran bahawa setiap amalan akan dihisab.


Namun, sering timbul persoalan: adakah orang beriman perlu menjauhkan diri daripada kemajuan dunia? Jawapannya: tidak. Islam tidak pernah melarang kemajuan. Islam hanya melarang kelalaian dan kemajuan yang membawa kepada maksiat. Bahkan, Islam menggalakkan umatnya menjadi kuat, berilmu dan maju.  Marilah kita menyambut tahun baharu bukan dengan kelalaian dan pembaziran, tetapi dengan rasa kesyukuran, kesedaran diri serta keazaman untuk berubah ke arah yang lebih baik. Semoga tahun yang mendatang menjadi tahun yang lebih mendekatkan kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, lebih menenangkan hati, dan membawa keberkatan dalam kehidupan.”


Demikian antara perkara yang diingatkan melalui Tazkirah bertajuk “Menghadapi Tahun Baharu dengan Iman dan Taqwa Tanpa Meninggalkan Kemajuan Dunia” yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Hazimin bin Haji Metali, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah selaku Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-212 yang bersiaran dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong. 


Acara Munajat malam tadi turut dihadiri oleh belia Masjid Harakatul Adzkia, jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Arbi bin Haji Shahari, Penghulu Mukim Zon 1, Daerah Temburong.


Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Norezam bin Zaini, Imam Tingkat III, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong, Jabatan Hal Ehwal Masjid.  


Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hakim bin Md Amin, Belia Masjid Harakatul Adzkia.  Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Mu'iz bin Haji Kadir, Ketua Kampung Bokok, Daerah Temburong.


Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.


Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.  


Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala