Pulaie, Rabu, 17 Rejab 1447 bersamaan 07 Januari 2026–Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Ceramah) telah mengadakan Halaqah Bimbingan Da'ie Kali Ke-72 Tahun 1447H/2026M bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah.
Seramai 100 orang menyertai halaqah tersebut yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Jabatan Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan; Pusat Da'wah Islamiah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam serta para pensyarah dan penolong pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama; selain pensyarah dan penolong pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kementerian Pendidikan, serta Da'ie-Da'ie daripada jabatan kerajaan, swasta dan juga Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam.
Majlis halaqah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, diikuti dengan surah Al-Fatihah serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan pembentangan oleh fasilitator jemputan, Yang Mulia Dr. Haji Harapandi Dahri, Penolong Kanan Profesor, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Seterusnya, majlis disusuli dengan sesi perbincangan serta soal jawab dibukakan kepada semua peserta dan jemputan yang hadir.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada fasilitator jemputan yang disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah selaku Tetamu Kehormat majlis.
Objektif utama penganjuran Halaqah Bimbingan Da'ie Kali Ke-72 ini adalah untuk menyelaras isi kandungan ceramah agar penyampaian para penceramah kekal konsisten, mantap serta sentiasa relevan dengan isu semasa dan perkembangan zaman.
Halaqah ini diharap akan dapat mencapai objektif dan matlamat yang dihasratkan, khususnya dalam memperkaya ilmu pengetahuan, membincangkan isu-isu berkaitan serta menggalakkan pertukaran pandangan secara berkesan mengenai tajuk ceramah yang dibentangkan.






Foto: PDI