Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYERAHAN SURAT LANTIKAN AHLI JAWATANKUASA TAKMIR BAHARU  BAGI MASJID KAMPUNG SELANGAN, DAERAH TEMBURONG SESI 2025-2027

07 January 2026

MAJLIS PENYERAHAN SURAT LANTIKAN AHLI JAWATANKUASA TAKMIR BAHARU BAGI MASJID KAMPUNG SELANGAN, DAERAH TEMBURONG SESI 2025-2027

Temburong, Rabu, 18 Rejab 1447 bersamaan 07 Januari 2026–Seramai 35 orang telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Selangan, Daerah Temburong bagi Sesi 2025 hingga 2027 dalam Majlis Penyerahan Surat Lantikan yang diadakan di masjid berkenaan pada malam tadi.

Pelantikan tersebut bertujuan memastikan pengurusan masjid terus dilaksanakan secara teratur, berkesan dan relevan selaras dengan keperluan semasa masyarakat.  Ahli Jawatankuasa Takmir yang baharu bukan sahaja bertanggungjawab dalam aspek pentadbiran dan kebajikan masjid, malah turut berperanan memperkasa fungsi masjid sebagai pusat pengembangan ilmu, dakwah serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan syiar Islam.

Hadir selaku Tetamu Khas majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang seterusnya menyempurnakan penyerahan Surat Lantikan kepada para penerima.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Idrus bin Ahmad, Pemangku Bilal Masjid Kampung Selangan.  Acara diteruskan dengan ucapan khas daripada Yang Mulia Awang Haji Muhd Syahmi bin Haji Tuah, Pengerusi Takmir Masjid Kampung Selangan, sebelum disusuli dengan ucapan Tetamu Khas majlis.

Majlis seterusnya menyaksikan penyerahan Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa Takmir Baharu bagi Sesi 2025 hingga 2027 yang diselajurkan dengan penyampaian Sijil Penghargaan kepada 33 orang Ahli Jawatankuasa Takmir bagi Sesi 2023 hingga 2025 sebagai pengiktirafan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

 

Foto: JHEM​