Muara, Rabu, 17 Rejab 1447 bersamaan 07 Januari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengajian Islam terus komited dalam memastikan pendidikan ugama secara formal di negara ini dilaksanakan secara berkualiti dan berkesan bagi melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak tinggi.
Seramai 5,114 orang murid baharu telah memulakan sesi persekolahan ugama Darjah IV di seluruh negara pada petang tadi. Bagi menyambut kemasukan murid-murid baharu tersebut, pihak sekolah melaksanakan Program Kemasukan Murid Darjah IV Persekolahan Ugama 'SIUK' (Sekolahku, Ilmuku, Ugamaku, Keberkatanku) selama 4 hari, yang antara lain bertujuan bagi mengukuhkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan ugama, di samping memperkasa nilai-nilai Islam dan nilai-nilai positif dalam kalangan murid.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada petang tadi mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah sekolah ugama di seluruh negara bagi meninjau secara lebih dekat pelaksanaan program berkenaan.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman telah mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei serta Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Azim, Serasa.
Pada waktu yang sama, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim membuat lawatan kerja ke Sekolah Ugama Dato Basir, Lambak Kanan dan Sekolah Ugama Lambak Kanan.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar pula mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun dan Sekolah Ugama Pelambayan.
Manakala Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim berkunjung ke Sekolah Ugama Rimba I dan Sekolah Ugama Jerudong.
Di samping lawatan ke bilik-bilik darjah persekolahan ugama, rombongan lawatan turut meninjau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah berkenaan bagi memastikan pelaksanaan pengintegrasian mata pelajaran ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum dilaksanakan dengan baik, teratur, lancar dan berkesan.