Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah akan diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut bermula pada hari Isnin, Selasa, dan Rabu, iaitu 22, 23 dan 24 Rejab 1447 bersamaan dengan 12, 13 dan 14 Januari 2026, bertempat di Tingkat 7 dan 8, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Blok 2H, Kondominium Ong Sum Ping.
Manakala Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Cenderamata kepada Para Peserta dan Hakim Musabaqah akan diadakan pada Hari Khamis, 25 Rejab 1447 bersamaan dengan 15 Januari 2026, bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Seramai 75 orang peserta telah terpilih dan layak ke Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah, seperti berikut:
| KATEGORI | LELAKI | PEREMPUAN | JUMLAH |
| A | 7 | 8 | 15 |
| B | 6 | 9 | 15 |
| C | 4 | 11 | 15 |
| D | 8 | 7 | 15 |
| E | 9 | 6 | 15 |
| JUMLAH | 34 | 41 | 75 |
Dalam pada itu, hanya lima (05) orang peserta sahaja yang mencapai markah 85% ke atas akan dipilih bagi setiap kategori untuk melayakkan mereka ke Peringkat Akhir. Walau bagaimanapun, markah yang lebih tinggi lebih diutamakan sekiranya keramaian tersebut melebihi daripada jumlah lima (05) orang.
Antara tujuan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya diadakan adalah bagi menggalakkan umat Islam di Negara Brunei Darussalam berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan dan menjadikannya sebagai satu rutin dan amalan harian. Di samping untuk menambah penghafaz-penghafaz Al-Quran dalam sama-sama meraih pahala dan ganjaran dari Allah Subahanahu Wa Ta'ala, Musabaqah juga dapat mendorong dan membantu para peserta dan orang ramai untuk memahami maksud apa yang terkandung dalam Al-Quran termasuk fakta-fakta surah, nasihat, pengajaran dan hukum-hukum tajwid.