Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MUNAJAT KHAS ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-214 SEMPENA PEMBUKAAN SEKOLAH PENGGAL BAHARU TAHUN 2026

09 January 2026

MUNAJAT KHAS ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-214 SEMPENA PEMBUKAAN SEKOLAH PENGGAL BAHARU TAHUN 2026

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 18 Rejab 1447 bersamaan 08 Januari 2026Kegagalan Adalah Didikan. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedangkan ia baik bagi kamu. (Surah Al-Baqarah: 216).  Ayat ini mengingatkan kita bahawa kegagalan bukan penolakan Allah, tetapi didikan penuh hikmah.

Manakala Berjaya Itu Ujian. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bererti: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia (Surah Al-Qasas: 77).  Ayat ini mengingatkan kita bahawa nikmat kejayaan bukan untuk dibanggakan, tetapi untuk dipertanggungjawabkan. Kejayaan sepatutnya mendekatkan kita kepada akhirat, bukan menjauhkan kita daripada Allah.

Sementara, Usaha itu Ibadah, iaitu apabila pelajar memahami bahawa belajar itu ibadah, mereka akan belajar dengan sungguh-sungguh. Apabila guru memahami bahawa mengajar itu ibadah, mereka akan mendidik dengan penuh amanah dan kasih sayang. Di sinilah lahirnya keberkatan dalam pendidikan.  Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya manusia tidak memperoleh selain apa yang diusahakannya." (Surah An-Najm: 39).  Ayat ini mengingatkan bahawa apabila usaha difahami sebagai ibadah, setiap tugasan, peluh dan kesabaran menjadi bernilai di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Perkara tersebut antara yang diingatkan melalui Tazkirah bertajuk Gagal Itu Didikan, Berjaya Itu Ujian, dan Usaha Itu Ibadah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Nordin bin Ajmain, Guru Sekolah Ugama Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong, Belait bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-214 bersempena Pembukaan Sekolah Penggal Baharu Tahun 2026.

Mengimarahkan lagi acara Munajat petang tadi ialah guru-guru dan murid-murid dari sekolah-sekolah Ugama dan Arab seluruh negara.  Juga, warga kerja di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu secara maya.

Acara Munajat petang tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor, Pengetua Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba dari Surau Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba.

Diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ashizal bin Zainal Abidin, Pegawai Pelajaran Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Menteri (Petang).   Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Muila Awang Haji Mohd Rudzaini bin Haji Mohamad, Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Mulaut (Petang).

Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Zikir Maghfirah Warrahmah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Abang Hariz bin Abang Hadzman, Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama Lamunin, Tutong. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Asri bin Haji Timbang, Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Temburong.

Acara Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala mushibah dan penyakit merbahaya.