Berakas, Sabtu, 20 Rejab 1447 bersamaan 10 Januari 2026-Muzakarah Haji merupakan salah satu aktiviti tahunan Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang diungkayahkan oleh Bahagian Bimbingan Haji Dan Umrah, Jabatan Urusan Haji sebagai persiapan awal khusus bagi tenaga-tenaga pengkursus ibadat haji dan umrah yang dilantik untuk menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai manasik haji dan umrah serta perkara berkaitan dengannya kepada bakal jemaah haji yang terpilih di negara ini untuk menunaikan ibadat haji bagi Musim Haji Tahun 1447H / 2026M.
Sehubungan dengan itu, pagi tadi telah diadakan Muzakarah Haji Kali ke-33 yang diadakan di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun ini, seramai 139 orang terdiri daripada guru-guru pengkursus dan penyelia-penyelia pusat kursus, guru-guru sekolah, pembimbing-pembimbing ugama bagi syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan Pakej Haji dan Umrah, tenaga pembimbing saudara baru (Muallaf) dan Dai'e-da'ie dari Pusat Da'wah Islamiah (PDI), para pegawai dan Imam-imam Jabatan Hal Ehwal Masjid, mahasiswa dan mahasiswi dari institut pengajian tinggi, penuntut-penuntut sekolah menengah serta Peserta Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU) menyertai Muzakarah Haji tersebut.
Sebanyak dua Pembentangan Kertas Kerja telah dibentangkan pada pagi tadi iaitu Kertas Kerja Pertama oleh Yang Mulia Ustaz Awang Abdul Hafiy bin Yahya, Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam dengan tajuk “Beberapa Isu Hukum Dalam Pelaksanaan Ibadat Haji", dan Pembentangan Kedua Kertas Kerja bertajuk “Beberapa Isu Hukum Dalam Pelaksanaan Ibadat Haji", disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.
Objektif Muzakarah tersebut diadakan adalah bagi memperjelaskan falsafah dan penghayatan haji; di samping memperjelaskan isu-isu hukum yang timbul semasa para jemaah haji melaksanakan manasik haji dan umrah pada Musim Haji 1446H / 2025M yang lalu serta menyebarluas, menambah dan seterusnya memperkukuh ilmu manasik haji dikalangan peserta-peserta yang menghadiri muzakarah.
Ia jua bertujuan untuk memberi gambaran dan situasi keadaan terkini kepada guru-guru pengkursus di Tanah Suci, 'Arafah, Mina seperti kemudahan-kemudahan yang disediakan, ekspektasi-ekspektasi yang dihadapi oleh bakal jemaah haji semasa berada di Tanah Suci dan apa jua dasar serta peraturan Kerajaan Arab Saudi yang telah ditetapkan dan memperjelaskan pengurusan Haji Negara Brunei Darussalam dan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan.
Diharapkan muzakarah ini dapat mencapai objektifnya dan memantapkan lagi guru-guru pengkursus dengan ilmu ibadat haji dalam menyampaikan kursus ibadat haji kepada bakal jemaah haji tahun 1447H/2026M di samping ilmu ibadat haji dapat disebarluaskan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam serta mahasiswa dan mahasiswi institusi-institusi pengajian tinggi.




Foto: BPAAM