Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP MUZAKARAH HAJI KALI KE-33 BAGI TAHUN 1447H/2026M

10 January 2026

MAJLIS PENUTUP MUZAKARAH HAJI KALI KE-33 BAGI TAHUN 1447H/2026M

Berakas, Sabtu, 20 Rejab 1447 bersamaan 10 Januari 2026-Bagi menyebarluas, menambah dan seterusnya memperkukuh ilmu manasik haji dikalangan peserta-peserta yang menghadiri muzakarah dengan pemahaman  falsafah dan penghayatan ibadah haji, serta memperjelaskan isu-isu hukum yang ditimbulkan semasa para jemaah melaksanakan manasik haji dan umrah pada Musim Haji Tahun 1446H / 2025M yang lalu, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Bimbingan Haji dan Umrah mengadakan Muzakarah Haji Kali Ke-33 Tahun 1447H/2026M bertempat di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sehubungan dengan itu, pada petang tadi telah diadakan Majlis Penutup Muzakarah Haji Kali Ke-33 Tahun 1447H/2026M di tempat yang sama.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama yang kemudiannya menyampaikan ucapan serta sijil-sijil kepada para peserta Muzakarah Haji Kali Ke-33 bagi Tahun 1447H/2026M.

Turut hadir di majlis tersebut, Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan); Pengarah-Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Pengarah-Pengarah dan Pengurus-Pengurus Syarikat Pengendali Perkhidmatan Haji dan Umrah.

Pada majlis tersebut, satu pembentangan Kertas Kerja Perdana bertajuk “Kepentingan Tazkiyah Al-Nafs Melalui Penghindaran Rafats, Fusuq Dan Jidal" dibentangkan oleh Yang Mulia Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah bte Haji Abdul Rahman, Penolong Professor Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Terdahulu pada sesi sebelah pagi, seramai 139 orang peserta telah menghadiri Majlis Muzakarah Haji Kali Ke-33 terdiri daripada guru-guru pengkursus ibadat Haji dan Umrah, tenaga pengajar dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), tenaga pembimbing saudara-saudara baru (Muallaf) dan Da'ie-da'ie Pusat Da'wah Islamiah (PDI), para pegawai dan Imam-imam Jabatan Hal Ehwal Masjid, Mahasiswa/Mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali  (UNISSA), Mahasiswa/Mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), penuntut-penuntut Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, peserta Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU) serta pembimbing-pembimbing ugama syarikat pengendali perkhidmatan Pakej Haji dan Umrah. Pada sesi tersebut telah diadakan pembentangan kertas-kertas kerja oleh pegawai-pegawai Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri yang mengupas isu-isu hukum-hakam berkaitan manasik haji secara terperinci.

Muzakarah juga bertujuan memberikan gambaran dan situasi keadaan terkini kepada guru-guru pengkursus di Tanah Suci, 'Arafah, Mina seperti kemudahan-kemudahan yang disediakan, ekspektasi-ekspektasi yang dihadapi oleh bakal jemaah haji semasa berada di Tanah Suci dan apa jua dasar serta peraturan Kerajaan Arab Saudi yang telah ditetapkan, serta memperjelaskan pengurusan Haji Negara Brunei Darussalam dan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan.​


 

 


Foto: SkiPPA BPAAM