Tutong, Ahad, 06 Syaaban 1447 bersamaan 25 Januari 2026–Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dengan kerjasama Belia Imtiyaz, Belia Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pagi tadi menganjurkan Perlawanan Badminton Persahabatan Belia dan Beliawanis Senegara bertempat di Kompleks Sukan Daerah Tutong.
Tujuan perlawanan ini diadakan adalah untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat melalui aktiviti sukan, serta memupuk nilai kesukanan, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta. Di samping untuk mengenal pasti bakat baharu dan memberi galakan kepada peserta yang berpotensi dalam sukan badminton, ianya juga bertujuan mengukuhkan hubungan silaturrahim antara Belia dan Beliawanis di masjid-masjid.
Perlawanan Badminton Persahabatan ini telah disertai oleh seramai 20 orang yang terdiri daripada kalangan Belia dan Beliawanis mewakili beberapa buah masjid negara termasuk masjidmasjid dari keempat-empat daerah.
Hadir sama ke perlawanan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Yusli bin Haji Ashli, Ketua Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program seumpama ini diharap akan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam membudayakan gaya hidup sihat, memperkasa penglibatan Belia dan Beliawanis dalam aktiviti berfaedah, serta melahirkan generasi Belia dan Beliawanis masjid yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing.


Foto: JHEM