Jerudong, Rabu, 09 Syaaban 1447 bersamaan 28 Januari 2026–Sebanyak 5,175 naskhah Mushaf Brunei Darussalam telah diagihkan kepada 161 buah sekolah rendah hari ini dalam satu Majlis Pengagihan Mushaf Brunei Darussalam bagi Pelajar-Pelajar Tahun 4 Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta, yang diadakan di Dewan Sekolah Ugama Jerudong pagi tadi.
Sekolah-sekolah yang menerima mushaf sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah tersebut terdiri daripada 110 buah sekolah rendah Kerajaan; dan 51 buah sekolah rendah swasta di seluruh negara.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis bagi menyempurnakan penyerahan mushaf berkenaan ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pengagihan Mushaf Brunei Darussalam ini bertujuan untuk memastikan setiap pelajar memiliki senaskhah Mushaf Brunei Darussalam agar dimanfaatkan bagi keperluan pembelajaran Al-Quran, yang bermula dari Tahun 4 persekolahan umum dan seterusnya berkesinambungan hingga ke peringkat Darjah VI persekolahan Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Mohammad Amiruddin bin Haji Mohd Zaidi, Tenaga Pengajar Sekolah berkenaan dan diikuti dengan pengagihan Mushaf Brunei Darussalam oleh Tetamu Khas Majlis kepada wakil-wakil sekolah.