Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PRODUK MAKANAN LA PASTA CARBONARA FLAVOUR PASTA AND SAUCE KELUARAN SAN REMO MACARONI CO.

29 January 2026

PRODUK MAKANAN LA PASTA CARBONARA FLAVOUR PASTA AND SAUCE KELUARAN SAN REMO MACARONI CO.

Bandar Seri Begawan, Khamis, 10 Syaaban 1447 bersamaan 29 Januari 2026-Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui, Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal Jabatan tersebut telah menerima satu aduan mengenai produk makanan La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce jenama San Remo yang dijual di salah sebuah pasar raya di negara ini dan diragui status kehalalannya.

Sehubungan itu, analisis makmal telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan dan hasil ujian bertarikh 19 Januari 2026 mengesahkan bahawa produk berkenaan dikesan mengandungi DNA khinzir (Porcine).

Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin menegaskan kepada pemilik mana-mana pasar raya, kedai runcit dan premis perniagaan lain di negara ini yang menjual produk makanan La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce jenama San Remo keluaran San Remo Macaroni Co. Pty Ltd 4 Boden Court Windsor Gardens SA, 5087, Australia supaya segera mengasingkan produk tersebut dan menempatkannya di ruangan yang tidak terdedah kepada masyarakat Islam.

Kementerian Hal Ehwal Ugama juga ingin mengingatkan kepada para pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pengimport, pembekal dan pengedar agar sentiasa berwaspada serta lebih peka dalam pengurusan produk dan barangan tidak halal di semua peringkat pengendalian termasuk semasa pengimportan, penyimpanan di gudang atau tempat simpanan, pengangkutan, pengendalian dalaman serta penjualan di premis perniagaan. Langkah-langkah ini bertujuan bagi memastikan produk tidak halal untuk diasingkan sepenuhnya daripada produk halal bagi mengelakkan pencemaran silang (cross contamination) dan kekeliruan orang ramai, khususnya masyarakat Islam daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barangan gunaan yang tidak halal.

Di samping itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat yang disalurkan berhubung perkara ini.  Bagi mereka yang ingin membuat aduan serta berkongsi maklumat mengenai penjualan produk tidak halal secara terbuka di premis perniagaan, bolehlah berhubung terus dengan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui talian hotline +673 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

 

Foto: JHES