Setiap 15 Syaaban dalam kalendar Hijrah, umat Islam akan menyambut Nisfu Syaaban. Perkataan Nisfu berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud 'pertengahan'. Malam Nisfu Syaaban merupakan salah satu malam yang penuh berkat, rahmat dan dimakbulkan doa. Sehubungan dengan kelebihan dan keberkatan yang terdapat pada malam tersebut, umat Islam digalakkan untuk menghidupkannya dengan memperbanyakkan amal ibadah dan zikir bagi meraih rahmat serta keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid akan mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Khas bersempena dengan Nisfu Syaaban bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis tersebut akan diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien pada hari Isnin malam Selasa, 15 Syaaban 1447 Hijrah bersamaan 02 Februari 2026 Masihi mulai pukul 6.00 petang.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi sama-sama meraih ganjaran pahala dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala di samping mengimarahkan masjid, surau dan balai ibadat.