Rimba, Jumaat, 11 Syaaban 1447 bersamaan 30 Januari 2026–Masjid berperanan sebagai pusat ibadah dan institusi penting dalam pembangunan ilmu serta pembentukan rohani umat Islam. Selain menjadi tempat melaksanakan ibadah seperti sembahyang dan zikir, masjid turut berfungsi sebagai pusat pembelajaran agama yang berterusan, khususnya melalui pelaksanaan Kelas Al-Quran dan Muqaddam.
Pada pagi tadi, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama mengadakan lawatan kerja ke Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Rimba.
Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah serta murid-murid kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Rimba.
Lawatan kerja tersebut bertujuan meninjau secara langsung terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran Kelas Al-Quran dan Muqaddam yang dilaksanakan di masjid berkenaan, di samping memastikan pelaksanaan kelas berjalan dengan teratur, berkesan serta selaras dengan matlamat pemerkasaan pendidikan Al-Quran di negara ini.
Sesi pembelajaran Kelas Al-Quran dan Muqaddam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh murid-murid dengan bimbingan tenaga pengajar masjid. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya meninjau halaqah-halaqah pembelajaran seperti kaedah pengajaran, penglibatan murid serta suasana pembelajaran yang dijalankan.
Jumlah keseluruhan murid yang mendaftar untuk mengikuti kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Rimba meningkat dari tahun ke setahun, yang mana bagi tahun 2024 adalah seramai 319 orang, dan tahun 2025 seramai 494 orang.
Pada tahun 2026 ini sahaja, jumlah keseluruhan murid yang berdaftar mengikuti Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid tersebut adalah 604 orang murid dengan pecahan bagi Kelas Al-Quran seramai 202 orang iaitu 97 murid lelaki dan 105 murid perempuan. Manakala bagi Kelas Muqaddam seramai 402 orang iaitu 157 murid lelaki dan 245 murid perempuan. Sementara jumlah tenaga pengajar bagi 2 kelas berkenaan adalah 24 orang terdiri daripada 12 guru lelaki dan 12 guru perempuan.
Kelas Al-Quran dan Muqaddam yang diadakan pada setiap hari Jumaat dari pukul 8.00 hingga 10.00 pagi di masjid-masjid seluruh negara berperanan sebagai sokongan penting kepada pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah rendah, khususnya dalam mata pelajaran Al-Quran, bukan sahaja sebagai pelengkap sistem persekolahan formal malah sebagai rakan strategik dalam membentuk generasi celik Al-Quran, berakhlak mulia dan berteraskan nilai Melayu Islam Beraja (MIB). Melalui kaedah talaqqi dan musyafahah, murid-murid dibimbing secara langsung bagi memastikan bacaan yang betul serta diberi ruang pembelajaran tambahan untuk mengukuhkan kemahiran membaca, di samping menekankan aspek tarbiah dan ruhiyyah seperti kecintaan kepada Al-Quran, adab terhadap guru dan penghayatan ibadah, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan pengimarahan masjid dan pemerkasaan pendidikan Al-Quran secara bersepadu dan berkesan.
Pelaksanaan Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid-masjid seluruh negara adalah selaras dengan tertubuhnya Jabatan Hal Ehwal Masjid pada tahun 1993.
Foto: JHEM