Bandar Seri Begawan, Isnin (malam Selasa), 15 Syaaban 1447 bersamaan 02 Februari 2026–Bulan Syaaban merupakan salah satu daripada bulan Islam yang mempunyai kedudukan dan keistimewaan yang tinggi. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah memperbanyakkan amal ibadah pada bulan ini. Oleh itu umat Islam adalah dianjurkan untuk mempertingkatkan lagi amalan serta ibadah masing-masing sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadith-hadith sahih.
Pada setiap 15 Syaaban, umat Islam di negara ini menyambut Nisfu Syaaban, yang membawa maksud pertengahan bulan. Malam Nisfu Syaaban merupakan antara malam yang penuh dengan keberkatan dan rahmat, di mana doa-doa dimakbulkan. Sehubungan dengan kelebihan tersebut, umat Islam digalakkan untuk menghidupkan malam berkenaan dengan memperbanyakkan amal ibadah, zikir serta doa bagi memperoleh rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Sehubungan dengan itu, acara Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Khas sempena Nisfu Syaaban bagi Tahun 1447 Hijrah telah diadakan bagi mengimarahkan sambutan malam Nisfu Syaaban di negara ini. Acara berkenaan dilaksanakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada malam tadi.
Acara tersebut dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Khairul Arifin bin Haji Yusop, Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat bagi memohon kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selepas pembedahan Baginda. Majlis seterusnya diikuti dengan bacaan Surah Yasin sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Awang Mohd Hasnal bin Haji Mohammad, dengan tujuan memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar dipanjangkan umur dalam ketaatan beribadah kepada-Nya, dikurniakan rezeki yang halal sebagai bekalan ibadah, serta ditetapkan iman dalam agama Islam. Manakala, bacaan Doa Khas dipimpin oleh Yang Mulia Awang Khairul Arifin bin Haji Yusop, Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Hadir selaku Tetamu Khas pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia AwangMohammad Harris bin Brigadier Jeneral (Rtd) Dato Paduka Haji Ibrahim, Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi); pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Masjid Omar 'Ali Saifuddien serta para jemaah masjid.



Foto:JHEM