Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN, KESYUKURAN SEORANG AHLI PERSATUAN NURUL ISLAM HAFIZ AL-QUR’AN 30 JUZ, TAZKIRAH BULAN SYAABAN MENJELANG RAMADAN SEMPENA SAMBUTAN NISFU SYAABAN 1447H/2026M

02 February 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN, KESYUKURAN SEORANG AHLI PERSATUAN NURUL ISLAM HAFIZ AL-QUR’AN 30 JUZ, TAZKIRAH BULAN SYAABAN MENJELANG RAMADAN SEMPENA SAMBUTAN NISFU SYAABAN 1447H/2026M

Pulaie, Isnin, 14 Syaaban 1447 bersamaan 02 Februari 2026-Bagi memupuk kecintaan para Muallaf terhadap Al-Qur'an, menggalakkan mereka untuk terus membaca, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Qur'an dalam kehidupan seharian, serta memberi motivasi berterusan agar mereka istiqamah mempelajari Al-Qur'an dan meningkatkan tahap penguasaan bacaan serta kefahaman, Persatuan Nurul Islam, Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Qur'an yang diselajurkan dengan Majlis Kesyukuran. 

Majlis tersebut diadakan bersempena Malam Nisfu Syaaban bagi Tahun 1447H/2026M bertempat di Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah, Pusat Da'wah Islamiah. Turut hadir, ahli-ahli Persatuan Nurul Islam, pelajar-pelajar daripada Kelas Bimbingan Muallaf serta para pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah.

Majlis Kesyukuran diadakan bagi meraikan kejayaan seorang Ahli Persatuan Nurul Islam, Yang Mulia Awang Haji Mohd Nabil Hakim bin Haji Mohd Nabil Hafizuddin, yang telah menyempurnakan hafazan bacaan Al-Qur'an 30 juzuk setelah menamatkan pengajian di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Beliau sebelum ini telah menerima bimbingan awal melalui Kelas Bimbingan Muallaf anjuran Pusat Da'wah Islamiah.

Kejayaan tersebut diharap dapat menjadi contoh serta sumber inspirasi kepada para Muallaf lain untuk terus berusaha mendalami ilmu Al-Qur'an dan membudayakan pembacaan Al-Qur'an dalam kehidupan seharian.

Sejurus selesai Majlis Khatam Al-Qur'an, majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam oleh para peserta Khatam dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapha, Pemangku Ketua Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah. 

Pengisian majlis turut diserikan dengan Tazkirah bertajuk “Bulan Syaaban Menjelang Ramadan" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohd Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.

Penganjuran majlis ini diharapkan dapat terus memperkukuh keimanan para Muallaf, menyemai kecintaan terhadap kitab suci Al-Qur'an serta membentuk jati diri mereka ke arah menjadi mukmin sejati yang berakhlak mulia.

 

​​Foto: PDI