Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PEMBATALAN SIJIL HALAL R.M.S ICE CREAM VENTURES

03 February 2026

PEMBATALAN SIJIL HALAL R.M.S ICE CREAM VENTURES

Bandar Seri Begawan, Selasa, 15 Syaaban 1447 bersamaan 03 Februari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal, melalui kuasa yang diberikan oleh Majlis Ugama Islam Brunei, telah menjalankan tindakan pembatalan Sijil Halal di bawah Bab 6(3), Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005, ke atas R.M.S ICE CREAM VENTURES beralamat No. 4, Simpang 1092, Kampung Kilanas, Jalan Tutong, BF2520 Negara Brunei Darussalam dan melibatkan empat (04) buah kenderaan bernombor pendaftaran BAH 5898, BA 750, BAB 1350 dan BAJ 5877, berkuatkuasa serta merta.

Pembatalan Sijil Halal dan Sijil Penyelia Halal tersebut adalah hasil daripada pemantauan rutin yang dijalankan oleh Pegawai-Pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal ke atas pemegang-pemegang Sijil Halal dan Permit Majlis Ugama Islam Brunei. Semasa pemantauan dijalankan ke premis yang didaftarkan di dalam Sijil Halal syarikat berkenaan, Pegawai-Pegawai Penguatkuasa telah menemui sebatang berus yang diperbuat daripada bulu khinzir yang telah digunakan dalam proses penyediaan kon ais krim dan dijual dalam kenderaan-kenderaan tersebut. Berus yang diperbuat daripada bulu khinzir ini telah disahkan melalui analisis makmal yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

Kes ini sedang disiasat di bawah Bab 37, Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 dan jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi BND8,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, semua pemegang Sijil Halal dan Permit Majlis Ugama Islam Brunei di negara ini adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang serta syarat-syarat Pensijilan Halal yang telah ditetapkan. Kementerian Hal Ehwal Ugama juga ingin menegaskan bahawa setiap pemegang Sijil Halal dan Permit bertanggungjawab sepenuhnya memastikan semua peralatan, bahan dan proses penyediaan makanan adalah halal, suci serta bebas daripada sebarang unsur yang tidak halal atau meragukan.

Sebarang pelanggaran terhadap syarat pensijilan merupakan perbuatan yang amat serius dan menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang kerana ia boleh menyebabkan masyarakat Islam di negara ini terdedah kepada pengambilan makanan yang tidak Halal atau diragui kehalalannya, serta mencemarkan integriti sistem Pensijilan H​alal negara.

Pegawai-pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah akan terus menjalankan operasi pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peruntukan undang-undang dan syarat Pensijilan Halal.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan penggunaan atau penjualan produk tidak Halal di premis perniagaan boleh menyalurkan aduan terus kepada Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui talian hotline 716 6222 atau dengan hadir ke pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di daerah masing-masing.​