Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS DOA KESYUKURAN DAN PENGHARGAAN SERTA PENYAMPAIAN SIJIL PROGRAM KECEMERLANGAN KOMUNIKASI BERBAHASA ARAB FU-SHA TAHUN 2025M DAN PROGRAM PERTUKARAN KEBUDAYAAN DAN PENDIDIKAN (AT-TAU’AMAH) TAHUN 2023-2024M

04 February 2026

MAJLIS DOA KESYUKURAN DAN PENGHARGAAN SERTA PENYAMPAIAN SIJIL PROGRAM KECEMERLANGAN KOMUNIKASI BERBAHASA ARAB FU-SHA TAHUN 2025M DAN PROGRAM PERTUKARAN KEBUDAYAAN DAN PENDIDIKAN (AT-TAU’AMAH) TAHUN 2023-2024M

Berakas, Rabu, 16 Syaaban 1447 bersamaan 04 Februari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama terus memperkukuh hubungan kerjasama pendidikan antarabangsa melalui pelaksanaan Kursus Komunikasi Bahasa Arab Fus-ha (Standard) hasil kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman.

Program ini merupakan kesinambungan kejayaan inisiatif yang dilaksanakan pada tahun 2023 dan kini diteruskan bagi Kohort Ke-2 Tahun 2025M dengan penyertaan tenaga pengajar serta pelajar dari sekolah-sekolah Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Kursus ini dirangka khusus bagi memperkasa penguasaan komunikasi Bahasa Arab Standard dalam kalangan warga pendidik dan pelajar melalui pendekatan pembelajaran moden, bimbingan fasilitator antarabangsa, serta penilaian berstruktur yang menitikberatkan keberkesanan penguasaan bahasa.

Antara matlamat utama program adalah untuk meningkatkan tahap kompetensi berbahasa Arab secara praktikal, memperkukuh profesionalisme pengajaran bahasa Arab, serta memperluaskan pengalaman pembelajaran peserta melalui pendedahan antarabangsa yang berkualiti.

Selain itu, penganjuran kursus ini turut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman dalam bidang pendidikan bahasa Arab, sejajar dengan usaha berterusan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi meningkatkan kualiti pendidikan Arab dan Ugama di negara ini.

Penyertaan kursus kali ini mencerminkan komitmen tinggi para guru dan pelajar terhadap usaha pemantapan penguasaan Bahasa Arab Fus-ha sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan dakwah.

Kementerian Hal Ehwal Ugama yakin program ini akan memberikan impak positif yang berterusan dalam melahirkan generasi pendidik dan pelajar yang berkemahiran, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam yang berkualiti di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, sebagai tanda penghargaan kepada para fasilitator dari Kesultanan Oman dan para peserta kursus, satu majlis doa kesyukuran dan penghargaan serta penyampaian sijil diadakan pagi tadi bertempat di salah sebuah kompleks membeli-belah di Berakas. 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Razak bin Haji Mohd Daud, diikuti dengan ucapan dari Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Majlis.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video dan seterusnya penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Kesultanan Oman dan para peserta kursus yang terdiri daripada 43 orang pelajar dan 42 orang tenaga pengajar. Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta Program Pertukaran Kebudayaan dan Pendidikan (Program At Tau'amah) yang terdiri daripada 30 orang pelajar dan 10 orang tenaga pengajar persekolahan Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. ​