Berakas, Rabu, 16 Syaaban 1447 bersamaan 04 Februari 2026–Usaha berterusan Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkasa dan menyebarluaskan dakwah Islamiah di negara ini terus menampakkan impak positif apabila seorang wanita berbangsa Filipina memilih Islam sebagai pegangan hidupnya. Beliau telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam Majlis Pengislaman yang diadakan pada petang tadi bertempat di Bilik Al-Muhtadiin, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah, Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis Pengislaman dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Dayang Cleofe Timtim Serondo di hadapan pegawai Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah. Beliau seterusnya memilih nama Islamnya sebagai Yasmin binti Abdullah.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati, disusuli dengan Dikir Marhaban sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Sejak awal Januari hingga 3 Februari tahun ini, seramai 39 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara. Manakala bagi Daerah Brunei dan Muara sahaja, seramai 14 orang telah memeluk agama Islam dalam tempoh yang sama.
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
Foto: PDI