Berakas, Selasa, 22 Syaaban 1447 bersamaan 10 Februari 2026–Pengurniaan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam setiap menjelangnya bulan suci Ramadan adalah dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk di negara ini yang sememangnya mencerminkan sikap pemedulian dan kasih baginda.
Petang tadi, Majlis Penyerahan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada ketua-ketua jabatan, bahagian dan unit di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi tahun 1447H/2026M diadakan bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.
Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama kepada ketua-ketua jabatan dan bahagian serta unit di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, untuk dilaksanakan pengagihannya kepada setiap pegawai dan kakitangan masing-masing di bawah Kementerian berkenaan.
Turut hadir di majlis tersebut, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta ketua-ketua jabatan dan bahagian serta pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya, Majlis Penyerahan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun ini, sebanyak 22,300 kotak kecil Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diagihkan kepada warga Kementerian Hal Ehwal Ugama.Pengurniaan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu amal jariah baginda yang dihasratkan dapat dinikmati sebagai juadah untuk berbuka puasa oleh semua golongan rakyat dan penduduk yang berugama Islam di negara ini pada bulan Ramadhan yang tidak lama lagi akan menjelang.
Foto: SkiPPA BPAAM