Katok, Isnin, 21 Syaaban 1447 bersamaan 09 Februari 2026–Ibadat haji merupakan rukun Islam yang Kelima dan wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan di seluruh dunia. Pada tahun 2025, seramai 992 orang jemaah Haji dari Negara Brunei Darussalam telah terpilih sebagai tetamu Allah untuk menunaikan ibadat Haji.
Sehubungan dengan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan setiap jemaah sepanjang berada di Tanah Suci dengan menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan keselesaan dan kelancaran ibadah para jemaah Haji Negara Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, bagi mengukuhkan kefahaman dan memupuk keazaman untuk menunaikan ibadat Haji di masa akan datang dalam kalangan para pelajar, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Katok pagi tadi mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal 'Ula bertemakan Program Simulasi Manasik Haji yang diadakan di sekolah berkenaan.
Program juga bertujuan untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada para pelajar mengenai pelaksanaan ibadah Haji melalui gabungan pembelajaran teori dan praktikal dan seterusnya mengukuhkan penguasaan para pelajar dalam mata pelajaran Fiqh.
Hadir selaku Tetamu Khas bagi merasmikan acara tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Acara turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam serta pelajar-pelajar dari Sekolah Arab lain.