Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM BERSAMA MEMEDULI KALI KE-4 (AL-IHTIMAM MA’AN) PEJABAT HAL EHWAL UGAMA DAERAH BELAIT DAN BAHAGIAN-BAHAGIAN DI BAWAHNYA SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADAN BAGI TAHUN 1447H / 2026M

12 February 2026

PROGRAM BERSAMA MEMEDULI KALI KE-4 (AL-IHTIMAM MA’AN) PEJABAT HAL EHWAL UGAMA DAERAH BELAIT DAN BAHAGIAN-BAHAGIAN DI BAWAHNYA SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADAN BAGI TAHUN 1447H / 2026M

Belait, Khamis, 24 Syaaban 1447 bersamaan 12 Februari 2026–Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Program Bersama Memeduli Kali Ke-4 (Al-Ihtimam Ma'an) Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait dan Bahagian-Bahagian di bawahnya Sempena Menyambut Bulan Ramadan bagi Tahun 1447H/2026M selama dua (2) hari, iaitu pada hari Khamis, 24 Syaaban 1447 bersamaan 12 Februari 2026 dan hari Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026.

Program jangkauan komuniti tahunan ini bertujuan untuk sama-sama memeduli dan mendekati golongan yang memerlukan di sekitar Daerah Belait, di samping memupuk sifat prihatin, mengeratkan hubungan ukhuwah, memperkukuh semangat kerja berpasukan serta menyemai budaya berinfak dan bersedekah dalam kalangan warga Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait. Program kali ini menyasarkan penyerahan sumbangan kepada seramai 54 orang penerima terpilih.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada pagi tadi bagi menyempurnakan program tersebut kepada penerima-penerima terpilih ialah Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddindan, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei.

Penyerahan sumbangan telah diadakan di dua (2) buah lokasi, iaitu di rumah Pemangku Ketua Kampung Labi I, Yang Mulia Awang Hanapi bin Mohd Siput dan di rumah Ketua Kampung Lumut II, Yang Mulia Awang Haji Khairdon bin Haji Dahlan.  Turut hadir, Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait.

Program Bersama Memeduli Kali Ke-4 (Al-Ihtimam Ma'an) akan diteruskan lagi pada hari Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026 ke beberapa buah rumah penerima terpilih.  Penyerahan barang-barang keperluan asasi akan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait bersama pegawai dan kakitangan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait serta bahagian-bahagian di bawahnya.

Penganjuran Program seumpama ini turut berperanan sebagai wadah untuk menyantuni golongan yang memerlukan, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat.​